Polis Selangor memberi jaminan akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam kes sekumpulan anggota polis yang didakwa memukul Datuk Farid Kamil Zahari sepanjang beliau ditahan reman Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan sudah pun dibuka berhubung perkara itu.
"Kita perlu siasat dulu sebelum mengambil tindakan. Kita jalankan siasatan (bermula) 31 Januari lalu (dan) ia masih berjalan," katanya kepada Malaysiakini menerusi Whatsapp.
Ketika ditanya berapa ramai yang dipanggil untuk membantu siasatan, beliau menjawab "semua yang terlibat".
Namun Fadzil (gambar) tidak mengulas lanjut ketika ditanya sama ada ia merujuk kepada anggota polis yang didakwa memukul Farid.

Dalam sidang media khas semalam, pelakon dan pengarah berusia 37 tahun itu mendakwa dipukul sebelas anggota polis ketika direman empat hari berhubung dakwaan menampar anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, pada 12 Januari lalu.
Farid mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi pada hari ketiga beliau ditahan dan mengalami kecederaan di dahi sehingga menimbulkan kesan parut.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat pada 31 Januari lalu tetapi mendakwa maklum balas yang diberikan polis setakat ini mengecewakan.
Pada 16 Januari lalu, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cinta itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan, iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Pada 25 Januari lalu pula, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan mengambil ganja.
