Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan peralihan tampuk pemerintahan daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad membahagiakan Datuk Farid Kamil.

Kini pelakon dan pengarah itu berasa senang kerana terpenuh hasrat di hati yang ingin melihat HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan.

Namun, di sebalik semua itu, Farid mendedahkan sebelum ini dia berdepan pelbagai “sekatan” antaranya digam oleh produksi tempatan hingga periuk nasinya sebagai seniman terjejas.

“Semua yang berlaku adalah rentetan peristiwa bermula dari kelantangan saya menyuarakan sokongan terhadap Dr Mahathir atau pendapat mengenai kerajaan terdahulu hingga ditahan polis atas dakwaan mengambil dadah dan mencederakan polis.

“Perjalanan karier kemudian disedari semakin merudum awal Januari lalu apabila beberapa tawaran yang sampai tetapi didiamkan saja. Pihak produksi tidak lagi mahu mengambil saya bekerja.

“Semua tekanan yang dihadapi pada ketika itu saya anggap suatu perjuangan. Disebabkan itulah perasaan yang boleh saya gambarkan sekarang selepas apa yang terjadi adalah sangat berpuas hati,” katanya.

Farid, 37, ditemui pada sesi ramah mesra penggiat seni dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur semalam.

Kata pelakon filem Tombiruo itu, dia juga perlu berdepan masalah lain seperti soal pembayaran ke atas naskhah yang pernah dilakonkan.

“Ada di antara produksi memberitahu belum boleh melunaskan pembayaran kerana mahu tunggu hingga kes mahkamah selesai.

“Ada juga yang memaklumkan tawaran ditarik kerana sikap saya yang begitu terbuka menyokong pembangkang dan membelakangi kerajaan terdahulu,” katanya.

Siapa kawan, siapa lawan

Sebelum ini, Farid pernah mengundang perhatian ramai apabila mengulang semula status dari akaun lain berkenaan Dr Mahathir selain mengadakan pertemuan dengan pengerusi HARAPAN berkenaan.

Menurut suami aktres Diana Danielle itu, dugaannya tidak terhenti di situ apabila rakan-rakannya pula mula menjauhkan diri kerana pegangan politik yang berbeza.

“Sekarang saya perlu berhati-hati kerana tidak tahu siapa yang benar-benar kawan atau lawan.

“Situasi dihadapi sebelum ini memberi gambaran jelas bahawa apa yang saya impikan atau mahukan perubahan tidak didukung oleh kebanyakan rakan-rakan,” katanya.

Terdahulu, Farid didakwa atas enam pertuduhan antaranya positf dadah, mendatangkan kecederaan dan mereka-reka keterangan palsu mengenai tiga rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya.

Dalam pada itu, mengulas penangguhan perbicaraan pada 29 Jun depan bagi menjalani pembedahan lutut kanannya, Farid berkata proses itu belum dijalankan ekoran masih menunggu giliran sebagai pesakit.

Peguam Faizul Mohd Nasir memaklumkan mahkamah, Farid sepatutnya menjalani pembedahan lutut pada 15 Mei lalu dan perlu mengambil masa untuk proses penyembuhan.

"Baru saja selesai menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI), doktor pun belum memberi tarikh sebenar kerana pembedahan itu akan jalankan di sebuah hospital kerajaan.

“Tetapi saya berharap pembedahan dapat dilakukan sebelum hari raya Aidilfitri,” kata bapa kepada dua anak itu.

Lihat Komen
ADS