Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lutut dibedah, kes Farid Kamil ditangguh 29 Jun
Diterbitkan:  May 7, 2018 6:51 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Peguam Datuk Farid Kamil Zahari memberitahu Mahkamah Majistret bahawa aktor itu akan menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di Damansara dan memohon untuk tarikh sebutan semula kes yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Faizul Mohd Nasir berkata, pembedahan akan dilakukan pada 15 Mei depan dan akan mengambil masa untuk proses penyembuhan.

“Saya memohon mahkamah supaya tarikh untuk sebutan akan datang dilewatkan,” katanya seperti dilapor BH Online.

Terdahulu dalam prosiding itu, Majistret Salamiah Salleh menetapkan 6 Jun depan bagi sebutan semula kes enam pertuduhan jenayah dihadapi Farid Kamil, 37.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Faizul turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan semua pertuduhan dihadapi Farid Kamil.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Fazeedah Faik.

Pelakon filem J Revolusi itu berdepan empat pertuduhan pada 16 Januari lalu iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas serta berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat dalam kejadian berlaku di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, kira-kira jam 1.20 tengah hari 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang hari sama.

Pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas kesalahan memberi keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis menerima laporan itu.

Farid yang turut berlakon filem J Revolusi itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada jam 5.54 petang 31 Januari lalu.

Lihat Komen
ADS