Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil minta nasihat Dr Mahathir
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 3:48 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Beberapa hari selepas bergelar Datuk, pelakon Tombiruo yang baru-baru ini menjadi perhatian mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pertemuan itu Datuk Farid Kamil dilihat menyatakan hasratnya kepada bekas perdana menteri berkenaan.

Soalan Farid mudah.

Dia bertanyakan kepada Dr Mahathir apakah pesanan yang boleh dititipkan buat artis-artis Malaysia.

Dr Mahathir pula - seperti kebiasaannya dengan gaya bersahaja - menjawab ringkas.

Kata Dr Mahathir manusia harus mengajak manusia lain untuk berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Artis mempunyai ramai pengikut.

"Kita kena guna pengaruh itu untuk kebaikan. Dalam al-Quran ada sebut amar makruf nahi mungkar,” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Meskipun tidak dinyatakan pertemuan berkenaan dipercayai berlangsung di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengongsikan sebuah klip video memaparkan Farid yang berkain pelikat dan berbaju T dengan imej wajah Dr Mahathir, serta bertopi sambil mengomel mengenai kleptokrasi.

Ketika itu, Farid, 36, sedang berdiri di atas sebuah perahu yang beroleng-oleng dalam tali air dan bercakap dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya.

"Banyak sangat rasuah, banyak sangat - apa nama.... kleptomaniac, banyak sangat samseng-samseng, banyak sangat KL gangster yang pegang industri," katanya.

Selepas itu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu menyambung bebelannya mengenai rasuah.

"Depa makan rasuah. Bila makan rasuah, bahaya, hang tak boleh jadi pelakon kalau makan rasuah."

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada rakaman berkenaan adalah bayangan untuk projek lakonan Farid yang terbaru atau sekadar bertujuan mengusik.

Farid dianugerahi pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 16 Dis lalu. Turut menerima pingat yang membawa gelaran Datuk itu ialah seorang lagi pelakon, Aaron Aziz.

Anugerah itu diterima di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah.

Farid, 36 dan Aaron, 41, adalah antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

Lihat Komen
ADS