Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil mengaku tak bersalah reka keterangan
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 1:34 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Selepas didakwa atas lima pertuduhan - antaranya positif dadah dan mendatangkan kecederaan - pelakon terkenal Datuk Farid Kamil Zahari sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Kali ini Farid Kamil menghadapi pertuduhan mereka-reka keterangan palsu dan tidak benar mengenai tindakan tiga rakan artis meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Farid Kamil, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa mencipta keterangan palsu dalam satu laporan polis dengan memasukkan maklumat tidak benar.

Laporan tersebut pula boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan berkenaan.

Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Damansara pada jam 5.54 petang, 31 Jan lepas.

Farid Kamil didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda mengikut Seksyen 193 kanun yang sama jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Farid Kamil yang diwakili peguam Faizul Mohd Nasir memohon jaminan rendah atas alasan pelakon itu menanggung isteri, anak-anak serta ibu bapa yang sudah tua serta menghidapi pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan.

"Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor tawaran berlakon, mengarah dan lain-lain yang semakin merudum ekoran beberapa pertuduhan yang dihadapinya.

"Turut terjejas adalah kontrak-kontrak daripada syarikat pengiklanan yang sebelum ini ditawarkan kepada anak guam saya berkemungkinan akan ditamatkan kerana kontroversi ini," kata peguam itu.


Baca Ada apa Farid mengomel pasal rasuah, kleptokrasi?


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Turut hadir bersama Farid Kamil yang tiba di pekarangan mahkamah pada pukul10 pagi adalah adik lelakinya Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Semalam, memetik kenyataan polis Bernama melaporkan Farid Kamil membuat laporan menyatakan dirinya dianiaya tiga rakan artis yang didakwa mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

Pada 16 Jan lepas, suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Pada 25 Jan pula, Farid Kamil mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid) ke dalam badannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS