Kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang menguntungkan negara jika produk yang dihasilkan berkualiti, kata perdana menteri.

Untuk itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penggiat industri hiburan perlu memahami minat dan cita rasa pasaran luar negara bagi memastikan produk mereka dapat diterima, selain tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja.

"Filem Korea dan Hindustan orang suka tengok. Kalau kita nak buat filem, nak tunjuk di negara luar, kita kena tahu apa minat mereka.

"Kerajaan boleh tolong sedikit untuk membantu, seperti bidang pengiklanan dan sebagainya tetapi akhirnya kualiti filem itu yang akan menentukan ia diterima di negara asing (atau tidak)," katanya pada sesi dialog bersama penggiat industri hiburan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Antara penggiat seni yang hadir ialah Datuk Jamal Abdillah, Rozita Che Wan, Datuk Shuhaimi Baba, Michael Ang, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Norman Abdul Halim serta wakil dari Persatuan Penerbit Filem Malaysia.

Pada sesi dialog itu, penerbit Datuk Nancy Foo meminta kerajaan membuka peluang kepada penerbit tempatan untuk menyertai misi perdagangan ke luar negara bagi memasarkan produk mereka.

Katanya ketika ini industri hiburan hanya menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Filem luar tenggelamkan tempatan

Dr Mahathir berkata kerajaan boleh membuka peluang tersebut namun penerbit perlu mengeluarkan modal sendiri untuk menyertai misi perdagangan berkenaan.

Mengenai permintaan supaya bank melonggarkan syarat pinjaman patuh syariah kepada penerbit filem dan drama serta memberikan potongan cukai berganda kepada pelabur penerbitan kandungan kreatif, Dr Mahathir berkata perkara itu akan dibawa kepada kabinet untuk diputuskan.

Antara perkara lain yang dicadangkan ialah meletakkan pihak berkuasa berkaitan isu cetak rompak di bawah satu kementerian.

Ketika ini penguatkuasaan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna manakala menghukum terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Turut dibangkitkan, 25 peratus cukai hiburan yang dikutip bagi setiap jualan tiket filem oleh kerajaan negeri yang asalnya dipulangkan semula kepada penerbit. Kata mereka amalan itu telah dihentikan mulai tahun 2000.

Selain itu isu geran galakan penerbit dan serta limpahan filem dari luar negara yang menenggelamkan filem tempatan juga diutarakan pada sesi berkenaan.

Bagi memastikan semua isu tersebut diperhalusi dengan mendalam, Dr Mahathir meminta penggiat hiburan menghuraikan semua isu yang dibangkitkan di dalam satu memorandum untuk dibincangkan di peringkat kabinet.

"Saya akan cuba bantu setakat yang saya boleh, dan kalau ada apa-apa substantial seperti cukai, sila beri memorandum secara bertulis supaya saya dapat faham secara mendalam untuk meyakinkan kabinet menyokong tuntutan tersebut," kata Dr Mahathir.

- Bernama