Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan gelaran, pangkat dikejar Ella
Diterbitkan:  Nov 29, 2018 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Ratu Rock Ella mengaku tidak pernah mengejar gelaran Datuk sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam dunia seni tanah air.

Menurut Ella, sesuatu 'rezeki' tetap akan menjadi milik seseorang jika dia memang ditakdirkan layak untuk menerimanya.

“Saya tidak kejar pangkat atau gelaran Datuk sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian kerana percaya pada rezeki dari Allah.

“Kalau rezeki itu milik kita tiada siapa pun akan dapat menghalangnya kerana rezeki tidak pernah salah alamat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ella berkata demikian sebagai mengulas gelaran Datuk yang diterima golongan artis ketika ini.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 52, itu berkata seandainya ada pihak berminat untuk menganugerahkan gelaran itu suatu hari nanti dia tidak akan menolak rezeki yang diperoleh.

“Sebenarnya, bukan senang untuk anak seni mendapat gelaran Datuk itu kerana sebagai mana yang kita tahu ada tanggungjawab besar yang perlu dipikul selepas itu,” katanya.

Menurut Ella, hingga kini pengiktirafan paling bermakna buatnya dalam karier nyanyian adalah sokongan padu daripada peminatnya yang setia.

“Gelaran sebagai Ratu Rock tanah air juga sudah cukup buat saya berasa bangga dan dihargai peminat dalam bidang muzik tanah air.

“Selain pelbagai anugerah yang diterima dalam bidang nyanyian, gelaran Ratu Rock juga masih kekal sehingga kini.

“Sebagai penghibur, misi saya untuk terus menghasilkan karya yang bagus, berkualiti dan malar segar,” katanya.

Ella pernah menerima pingat Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) pada istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-79 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, pada 2010.

Lihat Komen
ADS