Penyanyi Liam Gallagher mendedahkan tahap vokalnya semakin baik daripada sebelumnya selepas mengurangkan pengambilan minuman keras dan rokok.
Bekas vokalis utama kumpulan britpop yang popular sekitar 1990-an itu berkata, dia sedang berusaha mengawal ketagihannya.
Tindakan itu kata Liam sekali gus menghilangkan suara garau yang dimilikinya.
“Saya tidak merokok dan minum serta mengawal kelakuan. Namun, saya tidak suka begitu.
“Saya suka vokal yang sedikit kasar dan mempunyai karakter,” katanya seperti dipetik NME.
Bagaimanapun, Liam, 46, mengakui dia masih 'berperang' dengan dirinya untuk mengurangkan semua ketagihan itu.
“Saya memang menjaga kelakuan tetapi sedikit, ia tidak terlalu banyak. Saya tidak mahu bunyi suara seperti Aled Jones atau Michael Buble pula nanti,” katanya bergurau.
Kenyataan itu dibuat selepas penyanyi itu menyifatkan 20 tahun memiliki ketagihan sebagai memualkan dan mengakui masalah itu telah menjejaskan persembahannya dalam satu persembahan.
Selepas keluar dari Oasis, Liam yang juga penulis lirik menubuhkan kumpulan Beady Eye sebagai vokalis.
Dia kemudian bergerak solo selepas kedua-dua band berpecah.
Sementara itu, Liam dijangka muncul dengan album solo kedua.
Selepas mengaku dia masih mempunyai taji, Liam menciap dalam Twitter dengan berkata, dia kini sedang menyiapkan 20 track lagu baru untuk album barunya.
Terdahulu, Liam sengaja mengusik peminatnya dengan berkata, dia menghabiskan masa selama seminggu berada di Los Angeles, AS bersama sekumpulan penulis lagu.
