Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan Emma di celah kangkang lelaki itu
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Selepas tular dan dikecam peminat, Emma Maembong hari ini tampil untuk menafikan bahawa dia bukanlah wanita berseluar pendek yang duduk di celah kangkang seorang lelaki mirip adik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Namun, walaupun menegaskan bahawa dia tidak terbabit dalam gambar berkenaan Emma tetap meminta maaf kepada peminatnya.

“Tu bukan Emma… tapi saya tetap minta maaf,” katanya di Instagram hari ini.

Terdahulu Emma disebut-sebut sebagai wanita yang bergambar sambil berlunjur sebelah kaki di celah kangkang seorang lelaki.

Bagaimanapun wajah wanita terbabit tidak dapat dilihat dengan jelas kerana terlindung oleh telefon genggam yang digunakan untuk merakam detik berkenaan.

Lelaki itu pula didakwa seakan-akan Syed Abdullah Syed Abdul Rahman iaitu abang kepada menteri belia dan sukan sekarang.

Untuk nota, Syed Abdullah adalah lelaki yang ketika ini didakwa sedang menjalin hubung romantis dengan Emma.

Mengaku gambar tak bertudung

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkata berdasarkan gambar tersebut, rambut wanita terbabit sedikit pun tidak sama dengan rambutnya.

Bagaimanapun, melalui kenyataan di media sosial juga Emma, 25, mengakui dia bergambar tanpa memakai tudung dalam satu gambar yang lain.

Secara terbuka dia meminta maaf dan mengaku kekhilafannya kerana membuka hijab dalam kejadian yang dipercayai berlaku baru-baru ini.

“Saya nak minta maaf atas kelalaian itu. Memang salah saya. Bukan salah kawan, keluarga atau siapa-siapa. Jangan salahkan mereka sebab saya sendiri yang lalai.

“Maafkan saya. Terima kasih kepada yang nasihat saya dan yang marah kecewa atau sedih semua saya minta maaf ya,” katanya.

Dalam imej terbabit, Emma dilihat melepaskan rambutnya ketika duduk bergambar bersebelahan Syed Abdullah.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku di sebuah restoran.

Walaupun imejnya dirakam tidak menutup aurat, Emma berkata, dia masih mengekalkan penampilannya yang bertudung seperti sebelum ini.

Pada masa sama, Emma sempat memberi komen berbaur sindiran kepada beberapa pengikut yang melontarkan kecaman kepadanya.

Pelakon drama Projek Memikat Suami itu berkata demikian selepas ada beberapa netizen berkata dia tidak perlu memohon maaf kepada manusia, sebaliknya kepada Allah.

“Kalau saya minta maaf dengan Allah tak ada siapa nampak kan? Tapi komen peminat semua nampak.

“Sebab tu saya minta maaf. Dan bagi Emma kalau diaorang tak sayang, tak ada nak sakit hati. Sebab tu Emma minta maaf juga (kepada) semua,” katanya.

Gambar dikaitkan dengan Fathia Latiff

Sementara itu, seorang lagi aktres juga dipercayai tampil tidak bertudung di khalayak ramai adalah Fathia Latiff.

Dalam sebuah rakaman klip video dan beberapa imej dimuat naik akaun Instagram Makcik Puaka, seorang wanita mirip Fathia sedang menyanyi dan sempat merakam gambar bersama seorang lelaki.

Pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff itu sebelum ini pernah didakwa digam penerbit gara-gara sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.

Namun, kelibat Fathia, 30, ada dilihat muncul melalui sebuah drama berjudul Kipas Belum Mati disiarkan sebuah rangkaian televisyen bermula 19 Jan lalu.

Lihat Komen
ADS