Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani minta dijarakkan dari perokok
Diterbitkan:  Jan 31, 2019 1:07 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Selepas beberapa hari bergelar banduan, kesihatan penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo, dilaporkan masih tetap baik.

Bagaimanapun, di sebalik jeriji Penjara Cipinang itu ada satu permintaan sederhana Ahmad Dhani. Dia meminta diberi tempat yang jauh daripada perokok.

Pengarah Penjara Cipinang, Oga Darmawan, berkata Ahmad Dhani meminta demikian kerana pengasas dan penyanyi kumpulan Dewa 19 itu antiasap rokok.

“Dia tak ada masalah kesihatan, tetap sihat, tapi dia antiasap rokok kerana menghidap asma,” katanya seperti dipetik detikHOT hari ini.

Justeru Oga berkata, permintaan penyanyi bersama lagu Separuh Nafas itu untuk tidak berada dalam satu sel dengan perokok dikabulkan demi kesihatannya.

Pada 28 Jan lalu, sebuah mahkamah di Jakarta, Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahmad Dhani atas kesalahan menyebarkan kata-kata kebencian di media sosial. 

Dia diarahkan hakim supaya ditangkap terus dan dihantar ke penjara. Peguam Ahmad Dhani sudah menyatakan akan mencabar sabitan berkenaan.

Oga juga berkata semua sel penjara di Cipinang tidak menggunakan penyaman udara.

Sebelum ini, katanya, banduan ditempatkan di mana-mana sel yang ada tanpa pengasingan di antara perokok dan tidak.

“Jadi, kalau ada yang merokok, dia terganggu,” katanya.

Namun bukan semua banduan mendapat kesempatan sebegitu. Ketika ini kata Oga, pengurusan penjara terbabit hanya membenarkan permintaan Ahmad Dhani saja.

"Tidak semua banduan itu merokok.

“Kelmarin, kami sudah pisahkan - yang merokok di hujung sebelah sana, mas Dhani di sebelah sini,” katanya.

Lihat Komen
ADS