Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM nak bantu terjemah nasionalisme dalam Malaysia Baru

Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) berhasrat untuk menjadikan pertubuhan itu sebagai jenama penting dan selaras dengan aspirasi Malaysia Baru.

Timbalan presidennya, Mahadi J Murat, berkata usaha membantu menterjemahkan konsep dan dasar kerajaan Malaysia Baru dirasakan antara langkah wajar yang perlu diambil FDAM.

Beranggapan masih ramai kurang jelas dengan pengertian Malaysia Baru, justeru kata Mahadi, di situlah FDAM akan berusaha menggembleng tenaga memainkan peranannya.

“Malaysia Baru masih tak jelas dari segi hala tujunya. Para karyawan filem adalah antara golongan yang boleh membantu menterjemahkan maksud Malaysia Baru.

“Ia supaya Malaysia Baru lebih jelas kepada orang lain, kalau tak kita tidak dipandu dengan maklumat yang sewajarnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahadi ditemui pada majlis sidang khas FDAM di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ampang, semalam. Turut hadir Presiden FDAM, Othman Hafsham.

Menurut Mahadi, melalui langkah-langkah tertentu, FDAM boleh menjadi badan profesional yang menyumbang secara membina kepada pembangunan dan kandungan kreatif negara.

Bertembung atau tidak

“Pengarah mainkan peranan utama dalam mencorakkan wajah perfileman Malaysia.

“Dengan wajah yang betul serta menampilkan nilai tinggi, ia akan mencerminkan tahap pemikiran masyarakat secara keseluruhannya. Itu agenda yang perlu kami capai,” katanya.

Sebagai contoh, Mahadi menyentuh mengenai agenda nasionalisme Malaysia Baru.

Menurutnya, seseorang pengarah filem boleh memainkan peranannya untuk menghuraikan definisi dan hubung kait nasionalisme dengan Malaysia Baru dalam karya mereka.

“Hari ini kalau disebut Malaysia Baru, apakah nasionalisme itu sama atau lain (berbanding dulu)?

“Adakah ia perlu bertembung atau diasingkan? Barangkali nasionalisme dalam filem harus dilihat dalam konteks Malaysia Baru.

“Kita tak boleh tunggu pihak lain, ahli politik misalnya, mereka huraikan atau terjemah sesuatu berdasarkan kepentingan politik.

“Tapi kita karyawan filem terjemah kerana pembudayaan masyarakat,” katanya.

Lihat Komen
ADS