Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Sukar ubah pemikiran penyokong bumi rata'
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 1:50 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Angkasawan Negara, Sheikh Muszaphar Shukor tampil menjelaskan bentuk sebenar bumi yang menjadi pertikaian segelintir pihak, terutama pendukung teori bumi rata (flat earth).

Sebagai angkasawan Islam ke-9 meneroka angkasa lepas, Sheikh Muszaphar berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menceritakan fakta sebenar.

“Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi lebih kepada bentuk telur.

"Setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000km sejam.

"Melihat kebesaran maha pencipta yang amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas. Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana. Masya-Allah. Subhanallah!” tulisnya menerusi laman Instagram.

Doktor bedah ortopedik itu berkata, setiap manusia perlu ke angkasa lepas sekiranya diberikan peluang.

"Ia mengubah perspektif anda mengenai kehidupan secara menyeluruh, menjadikan anda lebih yakin dengan Pencipta. Pengalaman (di angkasa lepas) sangat memukau dan menakjubkan," katanya.

Penjelasan Sheikh Muszaphar itu dipercayai merujuk cabaran penyanyi nasyid, Suhaimi Saad agar beliau bersumpah dengan nama Allah bahawa bumi berbentuk sfera.

Suhaimi membuat cabaran berkenaan dalam entri di Facebooknya baru-baru ini. Bagaimanapun status itu mengundang kecaman netizen.

Menurut Sheikh Muszaphar, adalah sukar untuk mengubah pandangan penyokong teori bumi datar, yang meyakini bumi berbentuk rata.

"Sukar sebenarnya untuk mengubah pemikiran golongan ‘flat earth’.

"Tetapi saya di sini berkongsi pengalaman terhadap apa yang saya lihat. Dengan nama Allah, ia datang dari dalam hati saya," katanya dalam entri yang dimuat naik pagi Jumaat.

Suhami dalam responnya terhadap penjelasan itu bagaimanapun mendakwa Sheikh Muszaphar tetap tidak menyahut cabarannya untuk bersumpah.

"Mungkin Dr tak berapa jelas apa yang SS (Suhaimi Saad) maksudkan dengan sumpah. Walaupun sebenarnya SS dah tulis dengan jelas.

"Masya Allah Subhanallah dan In the name of Allah bukan lafaz sumpah. Itu zikir biasa. Takpalah. SS cuma cabar sahaja. SS tak paksa pun Dr sumpah. Mungkin Dr tak suka bersumpah. #husnuzon," katanya.

Lihat Komen
ADS