Stesen radio gam lagu Michael Jackson
Sejumlah stesen radio di Kanada, New Zealand dan Australia menghentikan penyiaran lagu Michael Jackson susulan dakwaan gangguan seksual yang dilakukan mendiang yang dipaparkan sebuah dokumentari.
Di Kanada, stesen radio bahasa Perancis milik Cogeco Media mengesahkan kepada CNBC bahawa pihaknya mengeluarkan lagu penyanyi legenda tersebut.
Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Cogeco Media Christine Dicaire berkata pihaknya mengambil berat respons daripada pendengar.
“Dokumentari disiarkan pada Ahad lalu mencetuskan pelbagai reaksi. Kami memilih untuk memerhati situasi itu dengan mengeluarkan lagu-lagu berkenaan daripada stesen kami buat masa ini,” katanya seperti dipetik.
Beliau merujuk dokumentari berjudul Leaving Neverland: Michael Jackson and me terbitan HBO dan Channel 4 yang disiarkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom minggu ini.
Dokumentari itu memaparkan dua lelaki, Wade Robson dan James Safechuck yang mendakwa Michael melakukan gangguan seksual ketika masing-masing berusia 7 dan 10 tahun.
Dakwaan itu dinafikan pengendali pusaka Michael dan menyifatkan dokumentari itu sebagai 'hukuman awam tanpa bicara'.
Mereka juga memfailkan saman bernilai AS$100 juta ke atas HBO.
Australian Nova Entertainment Group juga mengambil langkah serupa dengan Cogeco Media dengan mengeluarkan lagu Michael daripada siarannya.
Di New Zealand, stesen radio utama negara itu yang dimiliki NZME dan Mediaworks berbuat demikian bermula Rabu lalu.
Penyanyi lagu Thriller dan Smooth Criminal itu bergelut dengan dakwaan pencabulan seksual terhadap kanak-kanak sepanjang kerjayanya.
Pada 2005 Michael dibebaskan daripada dakwaan pencabulan kanak-kanak. Dia meninggal empat tahun kemudian, di usia 50 tahun, akibat kegagalan jantung.

