Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
MRM nafi salah guna royalti, tipu artis
Diterbitkan:  Mar 14, 2019 7:46 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Badan pelesenan muzik tempatan, Music Rights Malaysia Bhd (MRM) menafikan dakwaan yang mengatakan pihak mereka menyalahgunakan royalti atau menipu artis.

Dakwaan itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid pada sesi parlimen 12 Mac lalu.

"MRM menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) untuk menyiasat dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani," kata MRM dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa MRM sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dibuat Abdullah Sani itu.

Rosmin Hashim yang merupakan Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM) dan salah seorang ahli lembaga MRM berkata dakwaan berkenaan dibuat dengan niat untuk merosakkan nama baik dan reputasi MRM.

"Dakwaan yang dibuat oleh ahli parlimen Kapar itu mengarut dan bersifat memfitnah. Dia perlu didakwa atas kesalahan memfitnah," kata Rosmin.

Tambah Rosmin, MRM telus dalam menjalankan operasi dan sentiasa mematuhi amalan pentadbiran yang digariskan Organisasi Pengurusan Kolektif.

Sementara itu, Pengerusi Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), Sheila Majid yang juga merupakan ahli MRM menggesa Abdullah Sani memohon maaf sekiranya SPRM mendapati dakwaan yang dibuatnya tidak benar.

"Ini perkara serius kerana melibatkan kredibiliti MRM. Kita tiada pilihan lain tapi membuat laporan berhubung perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan," kata Ratu Jazz negara itu.

Sheila juga menasihatkan semua pemegang hak cipta tidak terkejut dengan berita berkenaan.

Untuk rekod, MRM dilantik sebagai badan lesen tunggal untuk mengutip royalti pada 1 Jan 2017.

MRM bertanggungjawab untuk mengagihkan royalti kepada empat badan iaitu Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) yang mewakili 4,000 penulis lagu dan penerbit, PPM yang mewakili lebih 400 syarikat rakaman, dan RPM yang mewakili lebih 2,000 karyawan.

Lihat Komen
ADS