Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mendakwa mengalami kesedihan, kekecewaan dan tekanan perasaan, aktres Rozita Che Wan hari ini menanti bekas pemandunya tampil membuat permohonan maaf atas "fitnah" yang dibuatnya.

Kata Rozita - atau lebih mesra dipanggil Che Ta itu - pihaknya memberi tempoh hingga jam 6 petang ini untuk Muhammad Riduan Mohamad Mizol menunaikan tuntutan tersebut.

“Saya harap bekas pemandu tampil memohon maaf sebab pihak kami rasakan ini jalan terbaik untuk selesaikan isu ini,” katanya.

Che Ta, 48, ditemui pada sidang media berhubung isu lewat membayar gaji bekas pemandunya di sebuah hotel di Mutiara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir suaminya, Zain Saidin, serta peguam mereka, Wan Sarimah Wan Husain dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim.

Untuk memudahkan urusan tersebut, Rozita - atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar - berkata dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk bekas pemandunya membuat permohonan maaf tersebut.

“Terpulang sama ada dia nak muat naik di Facebook, datang ke pejabat peguam atau hubungi kami,” katanya.

Mungkin ada tindakan susulan

Sebelum ini, Muhammad Riduan, 21, memuat naik hantaran di Facebook mendakwa majikannya itu tidak membayar gaji seperti sepatutnya.

Pemuda itu turut mendakwa dia dilayan seperti pengemis semasa cuba menuntut gaji.

Kenyataan itu juga mengundang perhatian netizen yang menyelar sikap pelakon drama Kiah Pekasam itu ekoran tidak membayar gaji Muhammad Riduan.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Muhammad Riduan memuat naik bukti pembayaran yang dibuat Che Ta sebanyak RM2,000 di Facebook. 

Dia juga pernah menyatakan sebelum ini tidak akan sesekali meminta maaf kerana berpendapat dirinya tidak bersalah.

Menurut Che Ta, kejadian itu menyebabkan maruah dan reputasi dia serta keluarga tercemar di mata masyarakat.


Baca Pemandu Che Ta dapat gaji, dapat saman


Bagi membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut, Che Ta berkata, melalui peguamnya dia telah menghantar notis mengandungi beberapa tuntutan kepada Muhammad Riduan pada 11 Mac 2019 lalu.

Antara lain, katanya, dia meminta bekas pemandunya itu memadam dan menghentikan perbuatan atau kenyataan memfitnah.

Selepas tempoh 48 jam notis itu diberi, Muhammad Riduan juga diminta membuat jaminan dan aku janji bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan atau kenyataan fitnah yang serupa, selain membuat permohonan maaf di laman sosial.

"Kami minta dia hadir sama pada sidang media hari ini sebab nak beri peluang dia minta maaf secara terbuka, namun kami gagal menghubunginya.

“Sekiranya Muhammad Riduan gagal kami akan susuli dengan tindakan mahkamah,” katanya.

Lihat Komen
ADS