Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warner Bros Kevis Tsujihara meletakkan jawatannya susulan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa untuk membantu seorang pelakon wanita mendapatkan watak dalam filem terbitan studio itu.

Menurut Reuters hari ini, Tsujihara merupakan pegawai eksekutif terbaru yang hilang jawatan berikutan dakwaan salah laku dan gangguan seksual dalam industri media.

“Kevin melepaskan jawatannya sebagai pengerusi dan CEO Warner Bros, demi kebaikan WarnerMedia, Warner Bros, pekerja kami dan rakan kongsi,”

"Dia mengakui bahawa kesilapannya tidak selari dengan jangkaan syarikat berkenaan kepimpinan dan boleh memberi kesan kepada kemapuan syarikat untuk melangkah ke hadapan," kata Ketua Eksekutif WarnerMedia John Stankey seperti dipetik.

Stankey bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang kesalahan yang dikaitkan dengan Tsujihara.

Dalam artikel yang disiarkan di laman The Hollywood Reporter 6 Mac lalu, pelakon Charlotte Kirk didakwa memint pertolongan Tsujihara untuk mendapat watak dengan mengadakan hubungan seks dengannya.

Laporan itu juga memaparkan kiriman mesej antara mereka berdua yang antara lain turut mendedahkan tentang hubungan seks tersebut.

Menurut Reuters lagi, Tsujihara dalam kiriman emailnya kepada kakitangan Warner Bros tidak menyatakan sebab utama perletakan jawatannya.

"Jelas kepimpinan saya boleh menjadi gangguan dan halangan kepada kejayaan syarikat," katanya.

Peguam Tsujihara sebelum ini berkata dia tiada peranan secara langsung dalam pemilihan pelakon wanita dalam mana-mana filem.