Paling Popular
Terkini

Ketika media kebelakangan ini sering melaporkan tindakan individu tertentu menghina Nabi Muhammad, tetap ramai golongan yang utuh mencintai kekasih Allah itu.

Kini menghidap barah payu dara tahap empat, Raudhah Hamzah, 59, yakin cinta terhadap Rasulullah dapat terus diterapkan dalam diri umat Islam.

“Jika kita selalu berzikir, hati ini akan sentiasa tenang,” kata Raudhah yang juga merupakan ketua marhaban Al-Ikhlas.

Marhaban Al-Ikhlas ditubuhkan sejak 20 tahun lalu di Shah Alam oleh Raudhah sendiri.

Raudhah mengakui keadaan kesihatannya kadang-kadang menyukarkan aktiviti hariannya, namun hatinya masih cekal meneruskan aktiviti marhaban kerana cintakan kekasih Allah itu.

Jelas Raudhah, tujuannya adalah untuk mengalakkan umat Islam mempelajari dan mengenali seni marhaban dengan lebih dalam.

“Kami (bersama ahli kumpulan) banyak melakukan kajian untuk mengenali jenis-jenis zikir serta maksudnya.

“Zikir munajat, zikir taubat, berzanji. Tak semua boleh mengalunkan dengan nada serta irama yang tepat," jelas Raudhah kepada Malaysiakini.

Kumpulan Marhaban Al-Ikhlas

Tambah Raudhah, setiap zikir membawa makna tersendiri.

“Misalnya, setiap bacaan ‘rawi’ (berzanji) jika kita tidak tahu tanda untuk berhenti, ia akan memberi makna yang berlainan," katanya.

Marhaban adalah tradisi seni Islam yang dilakukan sejak dari zaman Rasulullah SAW.

Isi kandungannya merangkumi zikir, nasyid dan bacaan doa yang menggunakan bahasa Arab.

Kumpulan marhaban sering dijemput untuk menghiasi kenduri kahwin dan majlis cukur jambul sekitar Selangor bagi mengangkat tinggi junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Saya melakukan marhaban ini tepat pada nama iaitu ‘ikhlas’, saya tidak mengenakan bayaran untuk setiap marhaban yang dilakukan," kata.

Mengulas isu pihak menghina nabi, dia menyatakan rasa kesal selain mengaitkannya dengan sikap masyarakat Islam.

“Jika kita dapat lihat di Facebook, rata-rata umat Islam bergaduh dan tiada permuafakatan antara mereka.

"Ini telah memberi contoh yang tidak baik serta membuka ruang kepada mereka (pihak yang menghina nabi) memperlekehkan agama kita," kata Raudhah.

Mengulas lanjut, Raudhah juga berharap kerajaan memperbanyakkan aktiviti seperti marhaban dan kelas mengaji bagi memberi pendedahan ilmu agama kepada umat Islam.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi peruntukan untuk mengadakan kelas agama agar mereka (umat Islam) terus sama jatuh cinta dengan nabi kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS