Seni & Hiburan Malaysiakini

Hattan dakwa anak seni 'derita' lepas PH jadi k'jaan

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK RANTAU | Penyanyi Hattan berkata dirinya ‘menderita’ akibat ekonomi negara yang didakwanya tidak memberangsangkan selepas PH mengambil alih kerajaan pada PRU14 lalu.

Hattan berkata ini ditunjukkan dengan berkurangnya majlis makan malam syarikat korporat.

“Banyak artis bergantung kepada permintaan persembahan makan malam syarikat korporat (dinner show),” katanya di program bual bicara pilihan raya kecil (PRK) N2 Rantau ‘Apo nak Dikato’.

Pemilik nama penuh Mohd Shukri Shahabudin itu berkata pada satu ketika dahulu bayaran untuk persembahan majlis syarikat korporat boleh mencecah sehingga RM7,000, tetapi sekarang mendapat bayaran RM1,000 sudah dikira cukup bagus.

“Jadi bila mereka (syarikat korporat) tidak mendapat untung yang bagus menerusi pemerintahan kerajaan sekarang, mereka tidak akan menjemput kita.

“Buat pun hanya majlis kecil dan artis juga tidak dijemput lagi,” katanya.

Bual bicara tersebut yang mengangkat tajuk “Tok Mat di Mata Insan Seni” disiarkan melalui Facebook Umno Online serta menampilkan dua penyanyi sebagai panel iaitu Hattan dan juga Malek Ridzuan.

Zaman BN dapat RM3 juta

Senada dengan Hattan, Malek Ridzuan turut bersetuju masalah ekonomi merupakan faktor dunia seni tidak dapat berkembang besar.

“Macam apa Hattan kata masalah ekonomi.

“Kerana dulu peruntukan buat anak seni disediakan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cukup Sampai Di Sini itu berkata Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM 30) yang diadakan baru-baru ini juga tidak semeriah ketika era pentadbiran BN.

“Sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN), saya diberi bajet RM800 ribu untuk melakukan FFM.

“Kita buat persembahan di setiap negeri bagi promosi anugerah tersebut namun kini kita sendiri sebagai artis juga tidak dapat buat apa kerana bajet yang tidak mencukupi,” katanya.

Menurut Malek lagi kerajaan tidak memberikan bantuan bagi membela nasib anak seni.

“Semenjak pentadbiran kerajaan baru, saya tidak nampak lagi perjuangan dari segi ekonomi bagi memelihara nasib kami (anak seni),” katanya.