Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persaingan sengit dalam pasaran kerja membuat seseorang itu tidak ada pilihan kecuali berusaha gigih untuk memperoleh sijil sebagai tanda memiliki kelayakan akademik.

Bagi Ziana Zain, pendidikan menjadi kunci utama untuk menyiapkan seseorang untuk lebih berjaya dalam kehidupan.

Menurutnya, tanpa sijil akademik peluang untuk mereka ditawarkan pekerjaan yang baik boleh menjadi sangat tipis.

“Dunia sekarang mesti ada sijil yang menunjukkan awak bersekolah. Kalau tak ada macam mana nak menggaji individu tu.

“Sebabnya, sekarang persaingan akademik terlalu tinggi. Semua orang mahu jadi yang terbaik.

“Daripada 10 orang datang untuk ditemuduga, kita tak akan tahu siapa yang dapat kerja tu,” katanya,

Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain ditemui pada majlis pelancaran aplikasi SalamToday by SalamWeb - sebuah portal gaya hidup untuk komuniti Muslim - di Subang Jaya semalam.

Siapa nak tolong

Untuk nota, isu ibu bapa yang mengambil pendirian tidak menyekolahkan anak-anak pernah menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan netizen baru-baru ini.

Kata Ziana, 49, alam pekerjaan sekarang menjadi semakin mencabar buat seseorang sekiranya dia hanya mempunyai kelayakan bertaraf Sijil Penilaian Malaysia (SPM).

“Sekarang SPM saja dah tak laku, boleh kerja sebagai kerani,” katanya.

Pada masa sama, Ziana berkata, dia juga menekankan aspek akademik kepada empat anaknya iaitu Muhammad Aiman, 19; Muhammad Ammar, 15; dan pasangan kembar Muhammad Ariel serta Siti Nur Kaseh, 10.

Ziana berkata, dia tidak mahu sekiranya zuriat diperoleh hasil perkahwinan bersama bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri itu nanti tidak mempunyai hala tuju kerana kekangan pendidikan.

“Kalau saya dah tiada nanti, macam mana? Pendidikan tu penting untuk masa depan, saya selalu cakap kalau saya tiada nanti siapa nak tolong?

“Saya tak kisah mereka nak kerja apa saja, asalkan cuba dapatkan sijil terlebih dahulu. Itu menjadi keutamaan saya buat anak-anak,” katanya.

Penyanyi Berpisah Jua itu dan Armin bercerai secara rasmi pada 12 Julai tahun lalu selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.

Lihat Komen
ADS