Malaysiakini Seni & Hiburan

Perkasa industri animasi ke pasaran antarabangsa - Gobind

Bernama  |  Diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menggesa penerbit filem animasi untuk terus meneroka variasi cerita berinspirasikan budaya tempatan yang mempunyai nilai universal bagi menembusi pasaran dunia.

Katanya usaha tersebut akan sekali gus menjual imej Malaysia di persada global.

“Melihatkan potensi industri animasi dan visual effects (VFX) sebagai komoditi global yang bernilai AS$259 bilion pada 2018 dan dijangka mencecah AS$270 bilion pada 2020, kita harus terus memperkasa industri animasi ini sebagai jentera ekonomi kreatif,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan Cultural Investment Holding Co. Ltd.

Dalam pada itu Gobind berkata, bakat anak-anak muda dalam industri animasi kreatif perlu terus digilap oleh agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program inkubasi bakat dan pembangunan kemahiran.

Dalam pada itu Gobind berkata usaha syarikat Les’ Copaque menerusi filemnya, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang berjaya menembusi pasaran China adalah langkah strategik, mengambil kira faktor pasaran sinema di negara tersebut yang bakal mengatasi Amerika Syarikat menjelang 2022.

“Branding (penjenamaan) Upin dan Ipin yang menjadi fenomena ini juga perlu dipuji kerana aspek pengawalan harta inteleknya dan hak cipta yang dipegang pihak penerbit sehingga boleh dilesenkan melalui pelbagai platform ke seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang menelan belanja hampir RM20 juta dijangka ditayangkan di pawagam seluruh China pada Jun atau Julai ini.

Katanya melalui perjanjian itu, pihak Cultural Investment Holding Co. Ltd akan menanggung kos promosi filem tersebut di China berjumlah RM6 juta.

Selain itu Burhanuddin berkata filem terbaharu tersebut juga akan ditayangkan di pawagam seluruh Vietnam pada 26 April dan Indonesia pada 9 Mei.

Filem terbaharu Les’ Copaque itu meraih kutipan lebih RM25 juta dengan lebih dua juta penonton, sekali gus mencatat kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi di Malaysia.

- Bernama