Seni & Hiburan Malaysiakini

Dah 'tak tahan' Fathia pun buka tudung

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas Emma Maembong memilih untuk menanggalkan tudung baru-baru ini, kini pelakon Fathia Latiff pula dilihat mengambil langkah sama.

Enggan berbolak-balik dengan pelbagai alasan, Fathia sebaliknya menjelaskan alasan dia berbuat demikian kerana selesa dan "enggan menipu diri sendiri" lebih lama.

“Saya rasa lebih lega sekarang. Saya enggan menipu diri sendiri lagi dan kembali menjadi diri sendiri.

“Lagipun, untuk kekal bertudung bukan satu perkara mudah,” katanya dipetik Harian Metro.

Fathia dipercayai tidak lagi mengenakan tudung sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, katanya, sebelum ini dia bertudung bukan atas kerelaan hati sebaliknya kerana mahu membuktikan sesuatu kepada seseorang.

“Saya pakai tudung selama ini sebab orang lain. Disebabkan tidak dapat menerima kenyataan, saya memilih untuk tampil berhijab.

“Bagaimanapun saya sedar yang saya tidak boleh menipu atau mengongkong diri saya.

“Jadi saya ambil keputusan untuk kembali kepada diri yang asal. Saya sudah tidak boleh bertahan lagi,” katanya.

Justeru, kata Fathia, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan diri sendiri berbanding kehendak orang lain.

“Ini kehidupan saya. Jadi, saya berhak atur hidup tanpa perlu orang lain menghukum,” katanya.

Pada masa sama, Fathia berkata, bagi mereka yang gemar menghakimi segala tindak-tanduknya mereka dianggap tidak ada kehidupan sendiri.

Malah katanya, mereka yang menuduhnya membuka tudung kerana mengalami tekanan telah melakukan kesilapan dengan berbuat demikian.

“Orang kata saya mengalami tekanan sampai buka tudung adalah silap sebaliknya mereka dengki dengan kehidupan saya.

“Adakah dengan menghukum saya mereka sudah dapat tiket masuk syurga? Bagi saya semua orang sama. Setiap orang melakukan kesilapan.

“Siapa anda untuk hina pilihan yang saya buat. Saya perlu masa untuk kenal diri yang sebenar. Saya tahu keputusan ini salah tapi ada cara untuk tegur,” katanya.