Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Slash tampil unsur ketuhanan dalam single baru

Pernah popular dengan lagu Taman Astakona, kumpulan muzik rock Slash kini mempertaruhkan lagu berunsur ketuhanan buat julung kali selama 24 tahun bergiat dalam arena muzik tempatan.

Menurut pemain gitar utama, Johary Anuar, Slash cuba menampilkan sisi matang mereka dengan membawa kelainan dalam single keempat berjudul Dan Leburkanlah.

“Lagu religi (berunsur keagamaan) ni antara usaha kami untuk menambah repertoire Slash. Dulu band rock seperti kami banyak membawa lagu bertema cinta.

“Kumpulan kami sudah bergiat lama dalam dunia seni. Justeru, Slash memilih untuk hasilkan lagu baru yang akan menampilkan sisi matang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lirik video lagu dicipta sepenuhnya oleh Johary itu dilancar 9 Mei lalu, sempena Ramadan.

Selain Joe, kumpulan ditubuhkan pada 1994 itu - yang bergerak di bawah label sendiri, iaitu Astakona Entertainment turut dianggotai, Anuar (vokalis), Jack (bass) dan Alin (dram).

Dan Leburkanlah turut mendapat kerjasama Adi 6ixth Sense, Taja (Meet Uncle Hussein) dan penyanyi rap Daly Yusuf (Ahli Fiqir).

Menurut Johary atau atau lebih mesra disapa Joe itu, lirik Dan Leburkanlah menceritakan secara tersirat bagaimana seseorang manusia yang sering bergelumang dengan kesilapan cuba mencari jalan diredai.

“Liriknya membawa mesej mengenai seseorang yang sering tak tak tenteram, selagi tak mohon keampunan dan petunjuk, selagi itulah hatinya tak akan tenang,” katanya.

Bagaimanapun, Joe tidak menolak sekiranya lirik berkenaan akan dikaitkan oleh mana-mana pihak dengan pengalaman dilalui diri sendiri ataupun mana-mana anggota Slash yang lain.

Joe - yang juga mempunyai karier selain pemuzik iaitu sebagai Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya itu - menjelaskan secara bersahaja, sebagai manusia, seseorang itu tidak terlepas daripada melakukan sekecil-kecil kesilapan.

“Kami rock sejak zaman muda, dalam menempuh pengalaman hingga ke usia begini sudah tentu ada kesilapan dilakukan.

‘Namun, dalam lagu ini ia tidaklah dikaitkan secara seratus peratus,” katanya.

Lihat Komen
ADS