Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keletah Farid Kamil sambut raya dirindui adik beradik

Menjelang Syawal, adik kepada Farid Kamil, Fadzil Zahari mengakui ketiadaan abangnya di sisi untuk bersama-sama membuat persiapan Aidilfitri amat dirasai.

Menurutnya, keletah Farid setiap kali mereka berkumpul dan mengemas rumah di Alor Setar, Kedah bakal dirindui sekiranya abangnya itu terus mendekam di penjara pada pagi raya.

“Kalau balik ke kampung akan ada masanya kami bersama mengemas rumah, dialah paling bising dan macam bos arahkan kami sebab dia abang.

“Jadi kami sebagai adik-beradik lain memang akan terasa bila dia tiada,” katanya yang juga seorang pelakon dan pengarah.

Justeru, Fadzil atau nama penuhnya Fadzil Bahri Zahari, tidak putus harapan agar Farid dapat dibebaskan dari penjara untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga.

Fadzil ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) di Malaysia Petroleum Club KLCC, kelmarin.

Kata suami kepada aktres Yana Samsudin itu, peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom sedang melakukan yang terbaik untuk membebas atau menangguhkan hukuman terhadap pelakon dan pengarah itu.

“Memang harapan pertama kami macam itulah, hari, hari dok doa begitu. Peguam Farid tengah uruskan perkara berkenaan,” katanya.

Keadaan Farid lebih tenang

Mengulas mengenai keadaan Farid yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Fadzil, 35, berkata, abangnya kelihatan reda dan tenang.

“Saya telah melawat Farid bersama isterinya, Diana dan adik, Dr Anis Anwar di penjara.

“Alhamdulillah, nampak keadaan dia lebih tenang berbanding kali pertama dimasukkan ke lokap dulu,” katanya.

Pada masa sama, Fadzi berkata, dia diamanahkan Farid untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, peranan yang selama ini dijalankan abangnya.

“Dia ada pesan dan amanahkan pada saya, semasa dia tiada saya kena jadi nombor satu untuk keluarga dia, buat apa dia buat sebelum ni. Kena ambil tahu pasal keluarga dia,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Farid dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas disabitkan kesalahan menggunakan dadah.

Keputusan itu dibacakan majistret Nor Ariffin Hisham selepas dia yang sepatutnya membela diri memilih untuk berdiam diri.

Nor Ariffin turut memerintahkan Farid menjalani hukuman serta-merta. 

Lihat Komen
ADS