Malaysiakini Seni & Hiburan

Jangan jadi hamba Ramadan, pesan Mawi

Ramieza Wahid

Diterbitkan

Sepanjang Ramadan, ramai artis mengambil kesempatan membuat kebajikan dalam melakukan pelbagai kerja amal.

Namun, pelakon dan penyanyi Mawi mengingatkan segelintir artis supaya tidak hanya membantu golongan memerlukan pada bulan Ramadan.

"Jangan hanya bulan Ramadan sahaja kita buat amal jariah.

“Kita kena ikhlas bersedekah pada bulan lain juga sebab itu saya kata jadi hamba Allah jangan jadi hamba Ramadan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut pemilik nama penuh Asmawi Ani itu, dia melihat banyak program membantu golongan anak yatim dan gelandangan hanya pada bulan tersebut.

“Bulan itu (Ramadhan), kita beriya beri bantuan kepada anak yatim.

“11 bulan yang Allah cipta selain Ramadan itu tidak mulia ke untuk bantu orang?” katanya.

Tambah pengarah filem Tiada Tajuk itu, perangai taksub akan bulan Ramadan harus ditepis supaya tidak dilihat bersifat riak dalam menghulurkan bantuan.

“Kita kena ubah fahaman ini. Jangan taksub pada Ramadan.

“Jika hendak membantu orang susah, kita kena ikhlas dan tidak melihat kepada sesuatu tarikh dan masa untuk memberikan pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Mawi juga menjelaskan ramai masyarakat kini dilihat tidak bersyukur dan sering membazir terutama dalam berbelanja sewaktu bulan Ramadan.

“Ramai yang kurang bernasib baik dan miskin, kadang-kadang mereka hendak buka puasa pun susah.

“Bila kita kenang mereka, kita jadi sedih sebab kalau buka puasa mesti mewah tetapi semua membazir,” katanya.

Penyanyi lagu Kalah Dalam Menang itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai akan kemewahan yang tersedia di dunia.

“Kita sebagai manusia, pertama sekali kita kena kenal siapa pencipta kita, baru kita sedar hamba kepadanya.

“Ini kerana di dunia ini kita sudah terhijab dengan pelbagai kemewahan di dunia, jadi orang bakal menjadi lalai akan kemewahan yang mereka ada,” katanya.