Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Modul baru Skim Wajib Tayang bunuh filem bajet kecil'

Cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk memperkenalkan modul Skim Wajib Tayang yang baru bagi bertujuan mengatasi isu filem tidak laku disifatkan bukan tindakan yang bernas.

Menurut pengarah dan penerbit tempatan S Surendhar, modul itu akan 'membunuh' filem-filem tempatan yang diterbitkan dalam bajet kecil.

"Saya terkejut dengan cadangan Finas yang nak memperkenalkan modul baru Skim Wajib Tayang bagi mengenal pasti filem tidak laku. Cadangan ini tidak sesuai buat negara kita.

"Ia juga kemungkinan besar akan mewujudkan sikap pilih kasih," kata Surendhar kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Surendhar yang juga presiden Persatuan Screen and Stage, Finas sebaliknya perlu mendapatkan modul bagi mempertingkatkan lagi kualiti filem tempatan.

"Kalau sebuah filem tidak diberi peluang tayang di panggung, ke mana mereka nak pergi? Malaysia bukan Hollywood, kita tak ada alternatif lain untuk tayangkan filem selain panggung," katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana panel yang bakal diwujudkan oleh Finas akan menilai  sesebuah filem.

"Kita ada sejarah filem yang diterbit dalam bajet besar rugi besar, manakala filem dalam bajet kecil kutipannya lebih baik,"katanya.

Tambah Surendhar lagi, salah satu punca filem tempatan tidak mampu bersaing atau gagal dari kualiti adalah kerana tidak ada mekanisme pemasaran yang baik.

"Kita juga masih jauh tertinggal di belakang dari segi pasaran dan pengedaran filem.

"Finas sepatutnya perlu fokus kepada ini. Kalau boleh perlu ambil inisiatif untuk mengekport filem tempatan kita ke negara lain," tegas Surendhar lagi.

Terdahulu, pada Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat di peringkat pegawai undang-undang.

"Isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung.

“Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung.

"Kami ada satu modul wajib tayang baru, yang kami akan umum dalam masa terdekat,” kata Ahmad Idham.

Lihat Komen
ADS