Pelakon Khir Rahman memohon orang ramai supaya mendoakan kesihatan ayahnya A Rahman Hassan yang pitam semalam.

Khir menjelaskan ayahnya kini sedang menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Ampang selepas mengalami komplikasi paru-paru dan degupan jantung rendah.

“Assalamulaikum, saya Khir Rahman, ingin memohon jasa baik tuan dan puan untuk memanjatkan doa buat ayahanda saya A Rahman Hassan, yang kini berada di ICU, Hospital Ampang.

“Semalam, 10 Jun, sekitar jam 10 malam, beliau (Rahman Hassan) telah pitam di stesen minyak Petron Ampang sebelum diselamatkan oleh pihak ambulans,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah pelakon itu, ayahnya kini direhatkan untuk rawatan dan pemantauan lanjut dari pihak hospital.

“Buat masa ni pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

“Mohon yang terbaik buat Abah (Rahman Hassan). Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat Abah jua. Aminn. Terima kasih,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, penyanyi popular era 60-an itu telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima hari akibat kurang rehat dan masalah tekanan.