Seni & Hiburan Malaysiakini

A Rahman Hassan tenat: Saudara, rakan terdekat mohon ziarah

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelakon Khir Rahman memaklumkan bahawa keadaan bapanya A Rahman Hassan dalam keadaan kritikal.

Menurut anak kepada seniman veteran itu, bapanya kini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, Selangor.

Tambah Khir, bapanya kini bergantung pada mesin bantuan pernafasan selain ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

“Beliau (Rahman Hassan) kini hanya disokong oleh mesin pernafasan dan ubat-ubatan yang diperlukan untuk bertahan.

“Tidaklah pasti selama mana,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Sementara itu, Khir mewakili keluarganya memberi kebenaran bagi mana-mana kenalan untuk menziarahi ayahnya.

“Saya Khir Rahman, ingin memaklumkan buat semua yang mengenali ayahanda saya boleh lah kiranya menziarahi beliau (Rahman Hassan).

“Semoga perjalanan Abah dipermudahkan. Amin ya rabbal alamin,” kata Khir.

Semalam, Rahman Hassan dilaporkan telah pitam di stesen minyak Petron Ampang dan ditempatkan untuk menjalani rawatan di ICU.

Pada 1 Jun lalu, penyanyi popular era 60-an itu telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima hari akibat kurang rehat dan masalah tekanan.