Lepas mohon maaf, Erra minta ruang bertenang
Selepas tampil memohon maaf kepada Umie aida, pelakon Erra Fazira terpaksa menutup ruangan komen Instagramnya untuk bertenang.
"Maaf ya semua, post saya buat masa ini, ruangan comment saya off dulu untuk mencari ruang bertenang bagi mengelakkan perbincangan yg mengundang perbalahan," katanya melalui kiriman di Instagram.
Terdahulu, Erra memohon maaf kepada kawan baiknya, Umie Aida.
Tambah primadona filem Malaysia itu, dia mengakui kesilapannya dan memohon maaf kerana mengecewakan kawan baiknya itu buat kali ketiga.
“Kepada semua, saya mohon maaf di atas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Umie Aida.
“Umie Aida pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya telah mengecewakan dia buat kali ketiga,” katanya menerusi hantaran Instagram miliknya hari ini.
Tiada penjelasan sebab perselisihan dua artis berkenaan.
Sebelum ini, Umie memuat naik sekeping gambar yang memaparkan tulisan ‘tiada lagi kawan palsu’ (no more fake friend).
Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali turut menjelaskan rakan tersebut adalah seorang yang biasa membuat kesilapan tetapi tidak pernah belajar daripada kesilapan.
Bagaimanapun, pelakon filem Dukun itu tidak menyebut nama rakan yang didakwa melakukan kesilapan terhadapnya dan telah memadam hantaran Instagram tersebut.
Mengulas lanjut, Erra yang diingati dalam filem Sembilu berkata, Umie telah membincangkan isu tersebut dengannya secara baik.
“Beliau (Umie) memendamkan perasaan ini dan dia juga pernah mesej saya secara baik.
“Umie (kalau) tiada bukti, dia tidak akan bersuara,” katanya.
Pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu juga akui menyesal dan berjanji akan memperbaiki kekurangan dirinya.
“Ternyata saya banyak kekurangan dan saya harus terus baiki diri.
“Saya mohon maaf sekali lagi pada semua juga Umie Aida,” katanya.

