Polis tahan artis S’pura didakwa curi duit artis Indonesia
Pelakon Indonesia Raja Yunika Putri memaklumkan bahawa artis kelahiran Singapura yang didakwa mencuri wang miliknya ditahan polis hari ini.
“Keluarganya ada menghubungi saya bertanya apa yang boleh dibantu bagi mengeluarkan artis itu daripada tahanan,” katanya seperti dipetik laporan Harian Metro.
Tambah Raja Yunika, setakat ini dia belum menerima sebarang maklum balas dari keluarga artis tersebut dan tidak berhasrat untuk menarik balik laporan polis yang dibuat.

Sebelum ini, artis yang popular di Malaysia itu didakwa turut merayu supaya dia menarik balik laporan polis.
Bagaimanapun, atas nasihat beberapa pihak, Raja Yunika tetap meneruskan laporan itu.
Terdahulu portal Indonesia Haluankepri.com, Raja Yunika mendakwa artis terbabit mencuri sejumlah wang dari beg tangannya pada 7 Jun lalu.
Raja Yunika berkata kejadian tersebut berlaku di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura.
Katanya lagi, artis lelaki itu bertemunya atas urusan kerja selain meminta nasihat mengenai peluang untuk mengembangkan bakat di Indonesia.

