Paling Popular
Terkini

Meskipun hampir dua bulan Nur 2 sudah menamatkan episod akhir, gelaran watak Ustaz Hamadi masih ‘melekat’ pada Azhan Rani.

Kata Azhan, lakonannya dalam siri drama yang mencetus fenomena itu meninggalkan impak besar hinggakan walau ke mana saja dia pergi, dirinya pasti mengundang perhatian peminat.

Namun, menurutnya, di sebalik tumpuan diberikan, timbul kerisauan apabila mereka acap kali memanggil namanya dengan gelaran yang mempunyai pangkal "ustaz" seperti seorang tokoh agamawan yang disegani.

“Orang masih panggil ustaz, tapi dalam seronok-seronok tu, sebenar lahir kerisauan sebabnya saya bukan ustaz betul,” katanya.

Azhan, 43, ditemui pada pelancaran novel Sesekali di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Azhan pernah mengungguli kategori watak Antagonis Pilihan melalui drama Nur 2 dalam pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur yang diadakan 7 April lalu.

Ditanya bagaimanakah reaksinya sekiranya ada pihak terkeliru hingga menjemputnya untuk mengadakan sesebuah ceramah agama selepas ini dia menjawab: 

“Belum terfikir sampai ke tahap itu.”

Azhan berkata, dia memahami sekiranya peminat hanya bergurau dan memangilnya dengan julukan itu.

“Penonton sekadar suka-suka, saya faham. Lagipun Ustaz Hamadi tu bukan ustaz betul, dia penunggang agama,” katanya.

Namun, dia berharap akan ada sebuah naskhah baru yang boleh membantunya untuk melenyapkan populariti watak Ustaz Hamadi.

Malah kata pelakon yang pernah menjayakan drama Halalkan Hati yang Ku Curi itu, memegang satu-satu jenis watak untuk tempoh terlalu lama boleh membunuh karier seseorang anak seni sepertinya.

“Buat masa sekarang saya menolak untuk menerima watak ustaz atau seumpamanya.

"Saya nak cabar diri lakonkan watak selain itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS