Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Nabila Huda berharap dapat melupakan episod hitam pernah ditempuhi bersama bapa dan ibu tiri selepas mereka 'disatukan' dalam pertemuan penuh beremosi sempena Aidilfitri minggu lalu.

Kata pelakon itu, dalam membuka lembaran baru, dia tidak mengharapkan yang lebih selain dapat menghabiskan sisa hidupnya dengan meluangkan waktu bersama orang tuanya.

"Saya sangat sayang dia. Saya harap dapat habiskan sisa hidup dengan papa. Saya juga tak nak berjauhan dengannya lagi hingga ke akhir hayatnya," katanya.

Nabila, 34, ditemui pada majlis pengumuman program Muzikal Lawak Superstar di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Nabila diundang sebagai pengacara di samping pelakon dan pelawak Nabil Ahmad untuk acara yang dijadual bersiaran secara langsung bermula 28 Jun ini di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124).

Terdahulu, pengarah popular Erma Fatima memuat naik klip video memaparkan Nabila sedang meraikan Aidilftri di kediaman vokalis kumpulan Search, Amy, di Shah Alam.

Perkongsian itu juga secara tidak langsung dilihat mengakhiri konflik anak beranak itu sebelum ini. 

"Ini berkat doa suami, rakan-rakan dan peminat dan akhirnya termakbul hajat saya," katanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman juga meluahkan perasaan syukur apabila hubungannya dengan Nabila kembali jernih.

"Rupa-rupanya hari indah aku bisikkan pada Allah tiba akhirnya.

"Berderai air mata orang tua ni. Aku peluk dia kuat-kuat," katanya melalui akaun Instagram miliknya semalam.

Awal minggu lalu, Nabila menempelak ibu tirinya, Nohasniza Hassan atau lebih dikenali sebagai Nourish kerana dikatakan sering menjadi punca mereka berbalah.

Tahun lalu pula, Nabila meluah perasaan geram pada ibu tirinya yang didakwa menjadi punca hubungannya dengan bapanya renggang.

Nabila tidak dapat menahan perasaan kerana sudah tiga tahun dia tidak berkesempatan meraikan perayaan itu bersama bapanya.

Mengulas lanjut, katanya, hatinya terdetik untuk membuang ego pada Nourish kerana tidak mahu bersangka buruk selepas menerima pesanan ringkas daripada ibu tirinya itu.

"Kenapa saya nak kena fikir jahat orang saja? Itu lumrah manusia hanya nampak keburukan tapi bukan kebaikan," katanya yang ingin mengambil iktibar daripada pengalamannya.

Lihat Komen
ADS