Lisa kini berhijab lepas pulang dari Tanah Suci
Lisa Surihani kini mengambil keputusan untuk berhijab selepas pulang daripada menunaikan ibadah Umrah di tanah suci Makkah baru-baru ini.
Pelakon itu menyatakan rasa syukurnya diberi hidayah selepas mengambil masa bertahun-tahun untuk melakukan perubahan tersebut.
“Alhamdulillah, Allah sudah membuka pintu hati untuk berhijab dan doakan saya terus istiqamah.
“Terus terang, saya juga mengambil masa bertahun untuk melakukan perubahan ini. Malah saya juga masih mencari hidayah daripada Allah sampai sekarang,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.
Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu menunaikan ibadah tersebut bersama-sama suami, Yusri Abdul Halim dan dua anak mereka, Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.
Lisa berharap semua peminat mendoakan dirinya yang masih berusaha untuk menjadi muslimah yang lebih baik.
“Doa daripada semua peminat sangat penting buat saya yang masih berusaha melakukan perubahan ini,” katanya.
Penampilan baru Lisa disambut baik ribuan pengikut laman Instagramnya dengan kebanyakannya mendoakan pelakon itu kekal berhijab.

