SENI & HIBURAN

Pelawak terkenal ditahan terbabit pergaduhan di hotel

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Jun 2019, 3:15 pagi

Seorang pelawak terkenal bersama dua individu ditahan dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras pada Selasa lepas.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menerima panggilan berhubung pertengkaran membabitkan dua lelaki dan seorang wanita di lobi hotel.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata anggota yang ke lokasi kejadian menahan pelawak dan rakannya masing-masing berumur 41 dan 35 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun.

"Pemeriksaan badan terhadap wanita itu pula membawa kepada penemuan satu peket dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 0.55 gram," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ujian saringan urin mendapati pelawak itu positif ganja manakala dua lagi suspek positif dadah jenis AMP (amfetamina).

Katanya kesemua yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pelawak berkenaan dibebaskan semalam selepas direman selama sehari manakala dua lagi direman sehingga esok.

- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.