Maya Karin nafi jadi orang ketiga dalam rumah tangga Nik Nazmi
Maya Karin mengaku berkawan dengan ramai ahli politik.
Namun, katanya, tidak bermakna dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangga dibina Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan isterinya.
Aktres itu malah menafikan sekeras-keras dakwaan bahawa dia menjadi punca perceraian Nik Nazmi dengan Dr Imaan Abdul Rahim.
Kata Maya, hubungan dengan Nik Nazmi tidak lebih daripada sekadar kenalan biasa, sama seperti hubungannya dengan beberapa ahli politik lain.
“Saya berkawan dengan ramai ahli politik.
“Pada usia saya sekarang, saya lebih selesa untuk berkenalan dan berbincang dengan golongan tersebut, dan ya, saya kenal dia (Nik Nazmi).
“Tetapi saya tidak tahu dari mana datangnya cerita ini dan kenapa saya dikaitkan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Pelakon filem Munafik 2 itu berharap Nik Nazmi dan Dr Imaan dapat mengharungi dugaan yang menimpa mereka selain meneruskan kehidupan masing-masing.
Dia diminta mengulas dakwaan menjadi punca Nik Nazmi berpisah dengan isterinya selepas 14 tahun mereka mendirikan rumah tangga.
Maya, 39, bagaimanapun mengaku sudah lali dengan dakwaan sedemikian selepas namanya beberapa kali dikaitkan dengan beberapa ahli politik lain sebelum ini.
“Dakwaan sebegini tidak membuatkan saya melenting atau rasa apa-apa. Saya sudah lali,” katanya secara berseloroh.
Semalam, Nik Nazmi, 37, bercerai talak satu dengan Dr Imaan, 36, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

