Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Chef Wan sanggup pulangkan anugerah Ikon Felda
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 7:53 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Redzuawan Ismail atau Chef Wan menyatakan kesediaan untuk memulangkan semula Anugerah Ikon Felda susulan kenyataannya sebelum ini yang mendapat kecaman sesetengah pihak.

Tukang masak popular itu berkata, dia berasa sedih apabila terdapat pihak yang gemar menyalah tafsir dan mempolitikkan kenyataannya berhubung sikap segelintir peneroka Felda yang disifatkannya sebagai malas.

Menurut Chef Wan lagi, dia sudah menghubungi pihak pengurusan Felda dan bersedia untuk memulangkan anugerah diterima sekiranya mereka tidak berpuas dengan kenyataan terbabit.

“Bagaimanapun kata mereka perkara itu tidak perlu. Cuma yang menimbulkan permasalahan apabila saya memberikan kenyataan dengan menggunakan perumpamaan atau peribahasa beranak-pinak macam kucing.

“Masalahnya soal berkahwin ramai tanpa memikul tanggungjawab menjaga kebajikan keluarga dan anak memang berlaku dalam kalangan masyarakat Felda.

“Perkataan apa sepatutnya saya guna pakai kalau tidak itulah perumpamaan dan peribahasa sesuai dengan situasi yang mahu diketengahkan,” katanya dipetik Harian Metro.

Chef Wan sebelum ini mendakwa segelintir peneroka Felda bersikap malas untuk memajukan tanah dan berharap sepenuhnya pada bantuan diberikan kerajaan.

Sambil menyamakan golongan itu seperti kucing, Chef Wan juga mendakwa, peneroka Felda enggan membantu diri agar berubah menjadi lebih baik.

“Di sini orang-orang Felda kita walaupun tidak semua sibuk di kedai kopi menyalahkan kerajaan menunggu bantuan. Esok dapat bantuan lain pula ceritanya.

“Ada subsidi baja pun dijual. Dapat duit lebih gatal boleh kahwin dua, tiga bini lagi dan beranak-pinak macam kucing!” katanya pada hantaran di media sosial yang kini sudah diturunkan.

Kenyataan tersebut mengundang perhatian bekas perdana menteri Najib Razak dan mengundang kritikan warga maya yang beranggapan ia sebagai keterlaluan.

Pada 7 Julai lalu, Chef Wan diangkat sebagai Ikon Felda, anugerah yang kali ini disampaikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ia sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan 2019 di Selancar, Rompin, Pahang.

Chef Wan turut berkata, sebelum ini dia pernah dilantik sebagai ikon Felda selain pernah memberi ceramah di serata Felda selama dua tahun.

“Sepanjang tempoh itu saya melihat pelbagai permasalahan dihadapi penduduk Felda. Ia berlaku kerana sikap sebahagian daripada mereka yang terlalu bergantung kepada subsidi.

“Bukan itu saja ada antara mereka apabila dapat duit membazirkannya dengan membeli kereta mewah dan berpoligami,” katanya.

Kata Chef Wan, isu yang diperkatakannya itu diketahui selepas melalui pengalaman sendiri melihat situasi antaranya berlaku dalam sebuah keluarga peneroka Felda.

Dakwanya, terdapat seorang lelaki yang berkahwin ramai selain menghabiskan duit diterima kepada perkara tidak sepatutnya.

“Kesudahannya dia meninggalkan keluarga dan datang ke Kuala Lumpur bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Gaji yang diterima tidak cukup untuk menampung keluarganya yang besar dan saya membantu mereka bagi memastikan pendidikan anaknya tidak keciciran.

“Jadi adakah salah untuk saya mengetengahkan permasalahan yang berlaku bagi menyedarkan mereka?” katanya.

Lihat Komen
ADS