Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Bidang seni perlu dilihat sebagai platform ekonomi'

Bidang seni perlu dilihat sebagai platform yang mampu bersaing ke arah pembangunan ekonomi negara menerusi penghasilan pelbagai karya artis muda tempatan, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata koleksi seni berpotensi menjadi aset berharga yang akan mencipta dimensi baharu secara profesional dan sejarah kepada negara pada masa hadapan.

"Pertandingan Bakat Muda Sezaman ini memainkan peranan penting bagi mengetengahkan artis muda tempatan yang berbakat serta berpotensi menghasilkan karya dari pelbagai jenis media dan gaya dalam berkarya.

"Sejak pertandingan ini diperkenalkan dan kini telah masuk edisi ke-25, ramai pengkarya di peringkat 'Biennale' dan 'Triennale' antarabangsa sudah berjaya dilahirkan," katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS19) atau Young Contemporary Award di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata kebanyakan artis muda berkenaan juga berjaya membina karier dan mencipta nama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa seperti Shamsuddin Wahab, Syafiq Nordin, Syed Fakharuddin yang membuat pameran antaranya di New York, Jepun, Korea dan China.

"Selain menawarkan pengalaman kerjaya profesional sebagai artis muda kontemporari, bidang seni juga menjadi platform membina hubungan antarabangsa serta menjenamakan seni Malaysia di luar negara," katanya.

Menurut Bakhtiar bersempena dengan Visit Malaysia 2020, penganjuran KL Biennale 2020 turut akan diadakan oleh Balai Seni Negara yang bakal menarik para pengunjung dalam dan luar negara, secara tidak langsung menjadikan acara seni itu sebagai antara tumpuan pelancong.

Penganjuran BMS19 juga selaras dengan objektif kementerian untuk menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan dan kebudayaan, katanya.

Sebanyak 168 penyertaan diterima dan hanya 44 peserta layak ke peringkat akhir dengan karya bertemakan 'Bebas' menerusi karya seni instalasi termasuk bentuk seni konvensional seperti catan, cetakan dan arca.

Pada majlis itu pemenang, Samsudin Abdul Wahab memenangi anugerah utama dengan menerima wang tunai RM30,000 sementara dua lagi kategori dipertandingkan iaitu anugerah khas juri dan anugerah pilihan pelawat masing-masing menawarkan hadiah RM7,000 dan 2,000 kepada pemenang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS