Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
R Kelly mengaku tidak bersalah paksa gadis lakukan seks
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Penyanyi R&B R Kelly mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memaksa gadis dan wanita muda memberikan layanan seks untuk dirinya dan orang lain.

Hakim mahkamah persekutuan semalam turut memerintahkan penyanyi itu kekal di penjara tanpa ikat jamin.

Menurut hakim, sebab utama Kelly tidak dibenarkan diikat jamin adalah kerana dakwaan menghalang keadilan - antara pertuduhan yang diumumkan terhadapnya pada Jumaat di Chicago dan New York.

"Kelly sangat berbahaya kepada komuniti terutama kepada remaja perempuan," kata pendakwa persekutuan Angel Kroll.

Reuters melaporkan, penerima Anugerah Grammy itu dihadapkan dengan 18 pendakwaan antaranya menjadikan remaja perempuan dan wanita muda sebagai mangsa dengan memaksa mereka melakukan perbuatan seksual sejak dua dekad lalu.

Bagi pertuduhan menghalang keadilan, R Kelly, 52 dan kumpulannya dituduh membayar ratusan ribu dolar untuk menutup mulut mangsa, memberi kereta kepada seorang wanita muda dan menggunakan pemerasan serta ancaman keganasan.

Penyanyi yang popular pada tahun 1990-an itu, ditahan sewaktu membawa anjingnya bersiar-siar di pusat bandar Chicago, kata peguamnya, Steve Greenberg.

Kelly berdepan tuduhan penderaan seksual sejak tahun 1990-an dan dakwaan itu didokumentasikan dalam siri televisyen Surviving R Kelly yang ditayangkan pada 3 Januari lalu.

Pada Februari lalu, dia didakwa dengan 10 tuduhan penderaan seksual jenayah di Illinois.

Dia yang cukup dikenali menerusi lagu hits Bump n Grind dan I Believe I Can Fly, berdepan hukuman penjara maksimum lebih 190 tahun untuk pertuduhan di Chicago dan beberapa dekad lagi untuk kes yang difailkan di New York.

Kelly juga sedang berdepan tuduhan serangan seksual di Illinois yang boleh membawa hukuman penjara hingga 30 tahun.

Pemuzik dan penerbit itu didakwa melakukan salah laku seksual terhadap 12 remaja perempuan dan wanita muda. Pendakwa juga berkata, mereka mempunyai bukti dalam tiga kes video wanita melakukan perbuatan seks dengan Kelly.

Lihat Komen
ADS