Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaka Slank 'diet' plastik
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 12:11 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Masalah sampah plastik yang semakin membimbangkan ternyata menjadi perhatian vokalis band Indonesia, Slank, Kaka.

Menurut Kaka, dia kini sedang beransur-ansur membiasakan diri mengurangkan penggunaan plastik atau ‘berdiet’ plastik.

“Pada ketika ini saya bukan sudah benar-benar berhenti menggunakan plastik. Tapi beransur-ansur sudah terbiasa tidak menggunakan plastik,” katanya.

Pemilik nama asal Akhadi Wira Satriaji itu berkata, terdapat beberapa langkah boleh membantu masyarakat berhenti menambah sisa plastik yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan manusia di bumi.

Kata Kaka, 45, antaranya, seseorang itu boleh mengurangi penggunaan plastik melalui penyedut minuman.

Cara itu menurutnya memang nampak sederhana tetapi dia yakin mampu memberi kesan terhadap alam sekitar dan mengurangi sampah plastik.

Slank

Cara lain pula katanya, masyarakat tidak perlu lagi bergantung kepada penggunaan plastik sewaktu membeli-belah dari kedai atau pasar raya.

“Jika barang yang dibeli sedikit, baik dibawa guna tangan atau membawa beg serba guna sebelum membeli.

“Ya, sederhana itu kita mulai dari diri sendiri,” katanya.

Kaka turut menyuarakan kempen bahaya plastik terhadap kehidupan manusia melalui muziknya.

“Muzik dipercayai dapat menyatukan orang ramai dengan idea iaitu Slank mampu mendorong mereka berhenti menggunakan plastik,” katanya.

Secara peribadi Kaka mengakui setiap kali mengadakan konsert dia mendapati begitu banyak sampah plastik yang bersepah-sepah di lokasi tersebut.

'Sungai plastik' di Bandung, Indonesia

Kaka menggesa agar peminat yang datang berhibur dengan muziknya untuk ringan tangan dan memungut sampah selepas selesai menyaksikan persembahan.

“Aku bersama Pandu Laut Nusantara berkali-kali mengingatkan agar mereka datang ke konsert Slank dengan damai, pulang dengan damai berserta sampahmu,” katanya.

Seruan Kaka tidak hanya terhad kepada plastik bekas makanan dan minuman, dia turut menyuarakan mesej agar peminatnya memungut puntung rokok yang dibuang ke dalam tong sampah.

Dengan langkah seperti itu, menurutnya sedikit demi sedikit perilaku tersebut akan menjadi kebiasaan masyarakat.

Jakarta dikatakan sebagai penghasil sampah plastik terbesar di Indonesia. Pusat penyelidikan plastik negara itu melaporkan penggunaan beg plastik untuk tempoh setahun di ibu kota tersebut mencapai jumlah sebanyak 300 juta.

Lihat Komen
ADS