Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jamal minta peminat cadangkan nama anak
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Penyanyi Jamal Abdillah bersyukur isterinya kini sedang berbadan dua selepas mengalami tiga kali keguguran sebelum ini.

Menurut Jamal, usia kandungan Zai Izzati Khiruddin itu kini memasuki enam bulan.

“Alhamdulillah, doktor beritahu keadaan bayi dalam kandungan sihat.

“Saya sangat bersyukur kerana doktor juga beritahu kami bakal menimang cahaya mata perempuan nanti,” katanya dipetik Harian Metro.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai penyanyi Mati Hidup Semula itu mengesyaki Zai Izzati, 25, terkena buatan orang ekoran mengalami pendarahan tanpa henti ketika mereka berusaha mendapatkan zuriat.

Jamal, 60, pada ketika itu tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut juga mungkin berpunca daripada individu yang bertindak cuba menjatuhkannya dengan ilmu hitam.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, dia hanya berkongsi berita baik itu sekarang kerana menunggu masa dirasakan sesuai.

“Saya bukannya mahu berahsia dengan kandungan isteri tetapi lebih berhati-hati kerana dia pernah mengalami keguguran tiga kali sebelum ini.

“Justeru, saya sangat berharap semoga semua peminat turut mendoakan isteri selamat melahirkan bayi kami nanti,” katanya.

Jamal dan Zai Izzati

Ditanya mengenai nama ingin diberikan kepada anak yang bakal lahir itu nanti, Jamal berkata, dia mengalu-alukan peminat untuk memberi cadangan.

“Kami masih mencari nama sesuai dan mempunyai maksud yang baik untuk bayi perempuan bakal lahir nanti.

“Jika peminat ada cadangan nama yang baik boleh berhubung dengan saya dan isteri,” katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak. Ia merupakan perkahwinan keempat buat Jamal.

Jamal pernah berkahwin sebelum ini dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi semuanya berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12.

Lihat Komen
ADS