Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun sudah masuk tahun ke-12 acara bagi menghargai khidmat warga profesional belakang tabir, Anugerah Profima 2019 (AP2019) dirasakan masih belum mencapai tahap yang diinginkan penganjur.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Rusila Hashim, pihaknya berharap dapat memartabatkan majlis tersebut lebih tinggi agar menjadi antara majlis anugerah utama buat penggiat seni tanah air.

“Betapa kami (Profima) bersusah-payah untuk menaikkan taraf anugerah ini selayaknya seperti anugerah utama yang lain, misalnya seperti Festival Filem Malaysia.

“Penting bagi kami untuk membuka minda masyarakat dan penggiat industri sendiri agar mereka melihat anugerah Profima sebagai platform penting yang mengiktiraf tenaga kerja manusia,” katanya kepada Malaysiakini.

Rusila ditemui pada sidang pengumuman AP2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam. Hadir sama, Presiden Profima, Kapten Khir Mohd Noor.

Namun, katanya, dia sedih kerana tidak semua pihak dapat memandang dengan cara sama objektif yang dibawa Profima.

“Kalau boleh kami ingin majlis anugerah ini naik ke tingkat pertama sebab ia melibatkan pemain industri sama seperti diiktiraf pada majlis lain.

“Ya, memang timbul sedikit perasaan sedih, tak mahulah kita syok beria sendiri, sedangkan orang lain tak nampak objektif sama,” katanya.

Semalam, diumumkan sebanyak 57 anugerah akan diberikan antaranya Penerbit Terbaik, Pengarah Terbaik, Solekan Terbaik, Aksi Lagak Ngeri Terbaik, Pengarah Seni Terbaik, Jurukamera Terbaik dan banyak lagi.

Sebanyak 54 kategori dipertandingkan manakala tiga yang lain, tidak.

Tarikh penghantaran pencalonan bermula dari 15 Julai 2019 hingga 10 November 2019.

Ia dibuka kepada ahli aktif Profima dan ahli bersekutunya tetapi bagi kategori filem pendek syarat penyertaan dilonggarkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan dari Institut Pengajian Tinggi Swasta.

Pencalonan yang dihantar mestilah produk yang telah ditayangkan dari Januari 2017 hingga Jun 2019.

Malam Gala Anugerah Profima 2019 (MGAP2019) bakal diadakan pada 14 Disember 2019 bertempat di Dewan Merdeka PWTC.

Menurut Rusila, antara yang boleh membantu Profima mencapai tahap memuaskan itu adalah apabila pemain industri memandang serius majlis penganugerahan seperti itu.

“Alangkah seronoknya sekiranya dapat pencalonan lebih banyak, pada edisi ke-11 lalu, penyertaan dari kategori Dokumentari, Animasi TVC dan TV Majalah sikit saja.

“Apabila penyertaan terlalu sedikit, juri yang nak mengadili sesebuah karya jadi hambar, tidak seronok kerana nak tengok banyak penyertaan yang lebih baik,” katanya.

Justeru, katanya, tahun ini AP2019 membuka penyertaan daripada karya ditayangkan di pawagam, televisyen selain platform laman sosial dan Internet bertujuan memeriahkan dan menggalakkan lagi jumlah mereka yang ingin bertanding.

Lihat Komen
ADS