Penyanyi yang tidak lekang dengan imej seksi, Zizi Kirana mengakui lelaki yang lebih berusia mempunyai daya tarikan tersendiri.

Justeru, kata Zizi, dia tidak kisah jika ditakdirkan berjodohan dengan lelaki lebih berusia asalkan insan itu boleh menjaga, membahagiakan dan mampu membuat dia ketawa.

“Kalau jodoh itu boleh diberi pilihan, saya atau sesiapa saja sudah pasti inginkan yang terbaik menjadi pasangan hidup.

“Namun, dalam kehidupan ini kita tidak boleh menidakkan aturan dan ketentuan Allah SWT. Soal jodoh, ajal dan maut itu kerja Dia.

“Saya okay jika ditakdirkan berkawan dan berkahwin dengan lelaki berusia. Apa yang penting dia boleh menjaga, membahagiakan dan membuat saya ketawa,” katanya dipetik Harian Metro.

Semalam tular imej Zizi, 34, bersama seorang lagi artis, iaitu pelawak Ebby Yus sambil menggayakan busana perkahwinan.

Disebabkan pakaian digayakan, mereka dispekulasi sudah berkahwin dan tidak kurang juga ramai yang terkejut dek pilihan Zizi itu.

Ebby Yus berkata, gambar berkenaan dirakam ketika mereka menjayakan program Jenaka Kampung Kalut (JKK) yang ditayangkan di TV3.

Bagaimanapun, ditanya soal jodoh lebih lanjut, penyanyi Nakketaknak itu seboleh-bolehnya menolak mencari suami orang.

“Kalau dia berusia atau orang tua sekali pun, saya okay asalkan bukan suami orang. Sebagai wanita, saya perlu menghormati hak wanita lain.

“Saya percaya, dalam soal ini diri sendiri perlu memainkan peranan. Sekiranya memang lelaki itu bukan jodoh kita, saya percaya Allah akan hadirkan lelaki lain yang lebih baik,” katanya.