Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rasailah apa yang aku dah lalu - Fizo Omar
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 5:41 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Pelakon Fizo Omar, menyeru umat Islam yang berkemampuan supaya menunaikan ibadah haji dan melihat kebesaran Allah SWT.

“Wahai sahabat sekalian, pasanglah niat untuk ke sini dan rasailah apa yang aku dah lalui.

“Kalau sudah mampu tidak perlu ditanggung lagi kerana ia bukan sahaja menjalankan rukun, tapi kepada aku pengalaman sebuah perjalanan mengenali diri sendiri dan mengenal kebesaran Sang Pencipta," Kata Fizo di laman Instagram miliknya sewaktu bermalam di Muzdalifah, Makkah hari ini.

Pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu turut mengakui perjalanannya menunaikan haji telah memberi keinsafan dan berharap dapat dijemput menjadi tetamu Allah sekali lagi.

"Pelbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia berkumpul dengan niat Lillahitaala tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan.

“Kita sama sahaja di mata Allah, hanya amalan kita sahaja membezakan kita semua,” katanya.

 Tambah Fizo, pengalaman terindahnya menunaikan ibadah haji adalah apabila bermalam di Muzdalifah.

“Bermalam di Muzdalifah antara satu perjalanan haji yang tidak dapat aku lupakan dan memberi kesan mendalam dalam kehidupan aku.

"Bak kata ulama suasana ini diibaratkan seakan-akan padang Mahsyar nanti, beginilah keadaan kita semua menanti saat dipanggil dan dihitung amalan duniawi kita,” katanya yang turut memaparkan video suasana di Muzdalifah bersama kenyataan tersebut.

Muzdalifah adalah satu kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi.

Para jemaah Haji akan diminta berada dan bermalam di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari terbit fajar Hari Raya Aidiladha tanggal 10 Zulhijjah sehingga waktu terbit matahari Hari Raya tersebut.

Lihat Komen
ADS