Pakistan anggap Priyanka tak layak jadi duta muhibah PBB
Kerajaan Pakistan memfailkan aduan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melucutkan status duta muhibah Priyanka Chopra atas alasan aktres India itu menyokong peperangan.
Aduan berkenaan difailkan di tengah-tengah ketegangan yang berlaku antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu.
Dalam aduan kepada Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), Menteri Hak Asasi Manusia Pakistan, Shireen Mazari mendakwa Priyanka secara terbuka menyokong pendirian kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi ke atas wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Awal bulan ini, kerajaan India membatalkan autonomi sebahagian wilayah rantau Islam dan mengenakan sekatan keselamatan serta komunikasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan alasan bimbang berlakunya bantahan.
“Sikapnya yang menyokong pencabulan dilakukan kerajaan Modi terhadap konvensyen antarabangsa, resolusi Majlis Keselamatan PBB di Kashmir, peperangan dan nuklear, melemahkan kredibiliti kedudukan pertubuhan yang diangkatnya.
“Sekiranya gelaran itu tak dibuang serta-merta, pandangan terhadap duta muhibah PBB bagi mempromsi keamanan bakal menjadi penghinaan di seluruh dunia,” kata Mazari.
Priyanka, 37, yang dilantik sebagai duta muhibah Unicef pada 2010 dan 2016 baru-baru ini mengundang perhatian umum apabila mengeluarkan kenyataan melalui Twitter pada Februari lalu.
“Jai Hind (hidup India),” ciapnya disertai dengan tanda pagar #AngkatanBersenjataIndia.
Bekas ratu cantik dunia tahun 2000 itu membuat kenyataan tersebut sebaik pejuang pesawat India melintasi wilayah Pakistan bagi melancarkan serangan udara.
Serangan dilakukan India itu disusuli kes bunuh diri di bandar Kashmir yang ditadbir India, Pulwama, awal bulan itu. India menuduh Pakistan susulan kes pengebom berani mati 14 Februari lalu. Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Pakistan.
Menjawab tuduhan dilontarkan, Priyanka berkata dia tidak menyokong peperangan sebaliknya merujuk dirinya sebagai patriotik.
Kashmir menjadi wilayah perebutan antara India dan Pakistan, di mana kedua-dua negara mengaku memiliki kuasa sepenuhnya tetapi mentadbir secara berasingan selepas memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1947.
Pemberontakan berlaku di Kashmir sejak 30 tahun lalu mengakibatkan puluhan ribu orang mati.

