Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis baru mengaku salah kasari pekerja stesen minyak, halang polis
Diterbitkan:  Aug 30, 2019 5:32 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman denda RM2,800 terhadap komposer dan penyanyi baru, Muhammad Raziq Rosli kerana mengasari seorang pekerja stesen minyak.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Zynakal juga dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan menghalang polis menjalankan tugas, dalam satu insiden di Ampang pada 28 Ogos lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah bagi melakukan kedua-dua kesalahan tersebut.

Muhammad Raziq dikenakan denda RM800 bagi kesalahan mendatangkan kecederaan dan RM2,000 bagi kesalahan menghalang penjawat awam.

Memetik BH Online, penyanyi yang popular dengan lagu Terbang itu membayar denda berkenaan selepas majistret menjatuhkan hukuman.

Menurut kertas pertuduhan, Muhammad Raziq mencederakan seorang warga Bangladesh, Ahmad Mostak di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang, pada pukul kira-kira tiga petang Rabu lalu.

Dia juga didakwa sengaja menghalang polis apabila tidak menunjukkan kad pengenalan seperti diminta, ketika kejadian itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Raziq didakwa mencederakan warga Bangladesh, Ahmad Mostak, di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang.

Setiap pertuduhan masing-masing dibuat mengikut Seksyen 323 - yang membawa hukuman penjara tak lebih setahun atau denda, atau kedua-dua sekali - dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan - yang membawa hukuman penjara tak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Pendatang baru industri hiburan itu tidak diwakili peguam dan memohon dikenakan hukuman denda yang rendah dengan alasan tiada pendapatan tetap.

Bagaimanapun ia dibantah Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa yang memohon dia dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Lihat Komen
ADS