Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Manan Ngah: Jangan tunggu saya seorang hidupkan semula irama nusantara

Jika ditanya akan siapa insan bernama Manan Ngah pada generasi hari ini, mungkin ada yang terpinga-pinga memikirkan gerangan sosok tua berusia hampir 60 tahun itu.

Jawabnya, dia adalah pemuzik dan penggubah lagu-lagu irama nusantara terkenal di era 1980-an hingga 1990-an.

Malah, Manan Ngahlah individu yang melahirkan penyanyi-penyanyi tempatan berbakat seperti Sheqal menerusi lagu Zapin Rindu-Rinduan, Francissca Peter (Sekadar di Pinggiran), Sharifah Aini (Sebuah Ilusi), Fauziah Latiff (Biar Rindu Membara) dan Sudirman (Merisik Khabar).

Setelah sekian lama menyepi dari radar seni dan hiburan, pemuzik yang berasal dari Terengganu itu mendedahkan dia akan muncul dengan sesuatu yang baharu pada tahun 2020.

Bagaimanapun, tidak banyak yang dikatakan oleh Manan Ngah mengenai perkara itu melainkan ia adalah berkaitan dengan kerjaya seninya.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, pada tahun hadapan mungkin ada sesuatu yang berlaku. Sesuatu yang berkaitan dengan kerjaya saya.

“(Walau jarang muncul) saya masih ada di sini,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia ditemui selepas sidang media konsert suku akhir Gegar Vaganza musim enam (GV6) minggu sembilan di dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahad lalu.

Pada konsert itu, Manan Ngah diundang sebagai juri jemputan bersama-sama pelakon Rosyam Nor selain juri tetap Ramli MS dan Hetty Koes Endang.

Lebih dua dekad lalu, irama nusantara atau etnik kreatif Malaysia pernah mencipta fenomena tersendiri, lambat laun, irama itu semakin perlahan dimainkan di corong-corong radio masa kini.

Ditanya sama ada Manan ingin menghidupkan kembali irama nusantara seperti tahun sebelumnya, katanya, dia hanyalah pencetus kepada fenomena irama berkenaan.

Manan Ngah memberitahu, harapan untuk menyemarakkan semula irama nusantara tidak harus bergantung kepada dia seorang, ini kerana, masih ramai lagi komposer berbakat yang boleh menghidupkan genre berkenaan.

“Jangan tunggu saya seorang saja. Yang lain-lain (komposer) ada juga. Saya hanya pencetus muzik (irama nusantara)…saya didorong untuk menjenamakan balada nusantara, bukan muzik kontemporari atau tradisitional tahu.

“Kemudian, selepas itu muncul pula nama lain tetapi zatnya (konsep) sama seperti etnik kreatiflah, irama Malaysialah,” katanya.

Mengulas mengenai irama nusantara yang kurang menjadi pilihan pendengar, Manan Ngah berkata irama seperti itu masih boleh berdiri dengan sendirinya, justeru, dengan kemudahan teknologi yang ada, ia patut digunakan sebagai pemangkin untuk menaikkan kembali irama seperti itu.

“Saya dulu buat (lagu) dalam keadaan terbatas, belum ada lagi bentuk digital. Dulu semua analog, sekarang ini gunakan teknologi sebagai pemangkin, jangan bunuh muzik (irama nusantara) itu,” katanya.

Tambah Manan, dia tidak bersetuju bahawa muzik tempatan sudah berevolusi, katanya, meskipun susunan lagu-lagu masa kini disifatkan lebih moden dan mesra halwa telinga, namun lagu yang dihasilkan pencipta masa kini kekurangan jiwa dan keaslian dalam karya mereka.

Manan Ngah menjelaskan bahawa seorang pencipta dan penggubah lagu yang berwibawa adalah mereka yang menghasilkan lagu itu secara asli dengan menggunakan instrumen muzik yang sebenar, namun pada masa kini, ia boleh dilakukan dengan hanya bergantung kepada teknologi digital.

“Pada satu sudut ia (teknologi digital) mempelbagaikan kebijaksanaan penggubah lagu. Cuma, ia kurang dari segi jiwa,” katanya.

Lihat Komen
ADS