Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syafie terharu, macam tak percaya mampu gembirakan orang tua
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Syafie Naswip meluahkan perasaan syukur apabila penat lelah dia dan adik-beradiknya mengumpul duit, selain ‘mengikat perut’ untuk menghadiahkan rumah buat kedua orang tua mereka akhirnya berjaya.

Mengimbau pengalaman itu, kata pelakon berkenaan, mereka mula menyimpan wang selama dua tahun bermula pada 2016.

“Malam ini tiba-tiba terbayang kesusahan kami adik-beradik kumpul duit ikat perut untuk membeli rumah pertama hadiah buat mak ayah,” katanya di media sosial.

Menurut pelakon filem Songlap itu, dia juga terharu kerana hampir tidak percaya insan sepertinya mampu membuat kedua orang tuanya tersenyum gembira.

“Aku terharu. Siapa sangka budak yang sering diherdik dan dihina saat kecil ni boleh berjaya membuat emak dan ayahnya tersenyum.

“Masih banyak lagi yang aku ingin capai pada tahun ini, dan aku harap Allah permudahkan segalanya. Lebih banyak akan datang, amin,” katanya.

Pelakon itu mengiringi perkongsian berkenaan dengan sebuah klip video memaparkan rumah yang dibeli dan kejutan yang dibuat.

Dalam video berkenaan, Syafie, 26, ditemani ahli keluarga selain ibunya, Noorsiah Ahmad, yang masih kelihatan terkejut dengan pemberian tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, ibunya memberi reaksi positif.

“Saya buat kejutan untuk mak. Reaksi dia nampak gembira. Tapi saya lagi gembira. Kena pujuk ayah pindah,” katanya.

Lihat Komen
ADS