Malaysiakini Seni & Hiburan

Fikry berhasrat bantu generasi muda, suri rumah

Nadia Azam

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelakon Fikry Ibrahim berkata dia tidak berminat mengusahakan sebarang perniagaan yang tidak akan membawa faedah atau menyelesaikan masalah orang ramai.

Atas alasan itu, katanya, dia terpanggil untuk tampil dengan perniagaan penghantaran makanan atas talian, Go Eat, demi membantu generasi muda menjana pendapatan.

“Saya tak nak hasilkan produk bukan-bukan yang tak boleh selesaikan masalah orang ramai. Kalau boleh biarlah ia bawa penyelesaian.

“Ni memang suatu cabang berlainan daripada bidang lakonan, tapi saya yakin ia akan membawa banyak manfaat,” katanya yang bertindak selaku pengasas bersama aplikasi digital tersebut.

Fikry ditemui pada majlis pelancaran Go Eat di Petaling Jaya baru-baru ini.

Diterajui oleh Khairil Muzamil, aplikasi digital yang dibangunkan bagi meningkatkan daya saing anak muda itu digunakan sebagai platform menjual masakan dari rumah (home cook) secara atas talian.

Selain generasi muda, pemilik nama penuh Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu berharap usaha berkenaan juga membantu suri rumah yang mahir memasak menjana wang sendiri.

Bagaimanapun, kata Fikry, 25, dia menetapkan sasaran untuk melihat Go Eat berjaya di seluruh tanah air dalam tempoh setahun.

“Kalau tak sampai Perlis, saya anggap perniagaan ni gagal. Saya juga teringin melihat suri rumah di kawasan pedalaman misalnya, sudah arif dengan penggunaan aplikasi digital tersebut dalam tempoh tersebut,” katanya.