Aktor Star Wars dan jurulatih dialek yang pernah bekerja dengan ramai selebriti carta atasan Hollywood, Andrew Jack, menjadi salah seorang mangsa terbaru Covid-19.

Kematian Jack diumumkan agennya, Jill McCullough, hari ini.

Katanya Jack, 76, menghembus nafas terakhir di sebuah hospital di Surrey, Britain.

Menurut Jill, Jack tidak berpeluang bertemu isterinya, Gabriella Rogers, pada saat-saat terakhir kerana wanita itu sedang dikuarantin di Australia.

“Dia tak berpeluang untuk melihat isterinya yang juga jurulatih dialek dan sangat dikasihi kerana wanita itu terpaksa menjalani kuarantin di Australia.

“Gabriella baru saja diterbangkan dari New Zealand minggu lalu,” katanya seperti dipetik BBC.

Sementara itu, seorang lagi pelakon Star Wars, Greg Grunbers, berkata dia berdukacita sebaik dimaklumkan dengan kematian Jack yang disifatkannya sebagai seorang lelaki yang sangat mengagumkan, berbakat dan disayangi ramai.

“Dia seorang lelaki paling baik pernah saya kenali semasa bekerja,” katanya.

Kata Jill, Jack - yang tinggal dalam sebuah rumah bot di Sungai Thames - adalah seorang yang kelakar, menawan dan selesa untuk didekati.

“Dia masih bekerja keras, dan sedang melatih Batman baru,” katanya.