Seorang pelukis dan kolumnis Malaysiakini menawarkan lukisan untuk dijual dan hasilnya disumbangkan buat rakan artis yang sedang mengalami kesempitan ekoran penularan wabak Covid-19.

"Saya mahu menjual lakaran-lakaran ini dan semua hasil jualan akan disalurkan kepada kawan-kawan artis seperti penyanyi, pelawak, pelakon dan sebagainya yang sedang dalam kesempitan," katanya.

Pada masa sama Abdullahjones meminta pihak yang terlibat membantunya menghubungi persatuan atau pihak yang berkenaan.

"Mohon supaya siapa yang tahu ke mana harus disalurkan hasil jualan ini, dapatkan butiran seperti nombor akaun dan sebagainya," kata Abdulllahjones.

Kini 'terkandas' di Jogjakarta kerana larangan penerbangan, Abdullahjones berkata dia tidak menetapkan sebarang harga untuk lakaran tersebut.

"Harga adalah terserah kepada kesudian atau kesanggupan pembeli.

"Setelah menyalurkan bantuan kepada pihak yang terlibat, hubungi saya dan maklumkan lakaran mana yang kamu suka.

"Lakaran akan diberikan seadanya, iaitu tanpa bingkai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Abdullahjones berkata sesiapa yang berminat mendapatkan lakaran dihasilkannya di Jogjakarta itu boleh membuat sumbangan ke Tabung Prihatin Seniman Covid-Seni 2020.