Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ogy jual pes kari untuk kumpul duit nak bayar hutang pada pelakon
Diterbitkan:  May 11, 2020 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Selepas gagal mendapatkan pinjaman bank, penerbit teater Korupsi Dewan Semandung, Ogy Ahmad Daud, kini beralih arah mencari sumber kewangan bagi membayar gaji pelakonnya yang masih belum dilunaskan.

Caranya, Ogy - atau nama sebenarnya Fauziah - gigih memasarkan pes kari milik keluarganya turun-temurun. Dan dia menerima 'rahsia' ramuan tersebut daripada arwah bapanya yang juga seorang penyanyi terkenal.

"Alhamdulillah, untuk hari pertama semalam, saya menjual kira-kira 100 balang," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Sebelum ini, isu bayaran upah menjayakan teater Korupsi Dewan Semandung dibangkitkan seorang demi seorang pelakon dan kru produksi tersebut.

Korupsi Dewan Semandung itu dipentaskan di Istana Budaya pada Feb lalu turut menampilkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mereka mendakwa, syarikat Ogy Ventures & Network milik Ogy belum melunaskan sejumlah baki bayaran. Salah seorang pelakon teater itu malah membuat laporan polis mengenainya.

Bagaimanapun, Ogy menjelaskan bahawa dia berjanji untuk tetap melunaskan hutang tersebut.

Masak seawal jam 9 pagi

Penyanyi Wajah Rahsia Hati turut menzahirkan rasa syukur atas kesudian ramai pihak yang menghulurkan bantuan untuk memasarkan produknya.

"Saya dihubungi teman Facebook yang juga personaliti media sosial terkenal, Khairul Hakimin Muhammad.

"Khairul menyatakan hasrat membantu memasarkan produk saya melalui kempen yang diusahakannya tanpa mengambil komisen.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi, yang sudi membantu mempromosikan pes kari air tangan saya,” katanya lagi.

Tambah Ogy, dia akan memasak pes kari seawal jam 9 pagi bagi menyiapkan anggaran 300 balang sehari.

"Bagi urusan memasak, saya dibantu kakitangan yang juga ibu kepada bekas pelajar kelas lakonan saya.

"Alhamdulillah, saya percaya, jika kita lakukan sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan jalan dengan menghantar orang-orang seperti ini untuk membantu saya," luah pelakon filem Ali Setan itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS